Pengiklanan perlu ambil kira sentimen rakyat
PENGIKLANAN adalah strategi penting pemasaran iaitu memperkenalkan sesuatu produk dan perkhidmatan. Tanpa iklan pengguna tidak akan tahu tentang kewujudan sesuatu produk.
Justeru pihak yang terlibat dengan pengeluaran produk atau perkhidmatan berlumba-lumba mengiklan dan cuba menarik perhatian pengguna. Pelbagai daya kreativiti cuba ditonjolkan.
Tidak boleh dinafikan bahawa gaya pengiklanan yang hebat mampu menarik minat kumpulan sasaran. Ia sekali gus dapat meningkatkan keuntungan.
Pelbagai media digunakan sebagai platform untuk menyiarkan iklan mengikut kemampuan dan kumpulan sasaran. Namun televisyen tetap menjadi pilihan utama sebagai media perantara.
Pengiklanan melalui televisyen dilihat cukup penting kerana terbukti ia mudah mempengaruhi penonton dalam membuat keputusan. Maka pelbagai cara digunakan oleh pengeluar untuk menarik minat dan mempengaruhi penonton.
Dewasa ini keterujaan sesetengah pengeluar dalam menarik perhatian pengguna menyebabkan mereka seperti lupa tentang nilai-nilai murni dan sentimen masyarakat negara ini. Perkara ini sering dikesampingkan dalam usaha mereka untuk melariskan produk masing-masing.
Akibatnya kita sering dipertontonkan dengan bermacam-macam iklan yang kadangkala sukar untuk diterima sebagai norma masyarakat kita. Ia seperti meniru gaya pengiklanan di media-media Barat yang jelas terlalu bebas.
Harus diingat bahawa walaupun masyarakat kita semakin maju dan moden namun nilai dan adat ketimuran tetap menjadi pegangan utama. Usahlah cuba menggantikan nilai itu dengan budaya Barat yang melampau.
Perkara ini perlu diambil perhatian dan dipandang serius oleh semua pihak kerana sekarang kita dapat lihat timbul berbagai kontroversi dalam iklan yang ditayangkan di televisyen negara kita.
Antara masalah yang biasa kita dengar ialah penggunaan bahasa yang tidak betul atau tidak sopan, penonjolan imej dan gaya yang agak menjolok mata dengan menggunakan wanita sebagai simbol penarik walaupun produk atau perkhidmatan tersebut tiada kaitan dengan kaum wanita. Malah ada juga iklan yang agak sensitif yang dilihat boleh menyentuh sensitiviti sesetengah kaum dalam masyarakat majmuk ini.
Kita akui bahawa iklan adalah nadi sesuatu perniagaan dan kita wajar puji syarikat-syarikat yang penuh kreatif dan inovatif dalam menyediakan iklan.
Namun biarlah aspek moral dan sentimen masyarakat turut diambil kira dan bergerak seiring agar tidak mengundang masalah kepada mana-mana pihak.
Janganlah hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan hak, perasaan dan sensitiviti pihak lain. Buatlah iklan yang sopan dan berhemah tetapi penuh kreatif.
Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian ialah pengaruh iklan yang tidak sihat kepada anak-anak muda kita. Remaja dan kanak-kanak adalah golongan utama yang menonton televisyen. Mereka cukup mudah untuk terpengaruh. Justeru pihak yang berkenaan perlu mengambil berat aspek tanggungjawab sosial terhadap golongan muda ini agar mereka tidak terpengaruh dengan iklan yang tidak bertanggungjawab.
Kita juga memohon agar pihak-pihak berkenaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Lembaga Penapisan Filem dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat bertindak dengan lebih tegas dalam membendung penularan budaya yang kurang sihat.
Biarlah aktiviti pengiklanan berkembang pesat dan maju dalam suasana yang sihat dan berhemah agar kedua-dua pihak menerima manfaat secara bersama.