IPS pelbagaikan produk pembayaran 2010
IPS Sdn. Bhd. (IPS), pembangun rangkaian sistem pembayaran Mepscash akan mempelbagaikan penggunaan produk syarikat pada tahun hadapan.
Pada masa ini, Mepscash atau wang elektronik di dalam kad boleh digunakan untuk pembayaran dalam talian, pembayaran runcit, pembayaran tempat letak kereta dan sebagainya.
Ketua Pegawai Operasinya, Zurinah Mohd. Tarmizi berkata, pada tahu hadapan lebih banyak aplikasi yang dapat menjadikan Mepscash sebagai medium pembayaran mereka.
''Kami akan mula membina kiosk di tempat-tempat awam bagi memudahkan pengguna membuat sebarang pembayaran dan sebagainya.
''Kami juga ingin mempertingkatkan penggunaan Mepscash di pelbagai tempat serta menambah fungsi penggunaannya pada masa hadapan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Tambah Zurinah, pada tahun ini IPS akan meningkatkan promosi penggunaan Mepscash dengan menjalankan aktiviti pengiklanan berterusan termasuk melancarkan kiosk.
''Kiosk yang akan dilancarkan itu, membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan untuk membayar bil-bil secara dalam talian bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan Internet di rumah.
''Melalui perkhidmatan kiosk, ia dapat memudahkan kerajaan mengurangkan kos operasi kaunter, mengurangkan pengguna waktu beratur, melanjutkan waktu pembayaran, menyediakan platform bayaran ke pelbagai agensi serta perkhidmatan pembayaran tambahan kepada bank dan sebagainya,'' jelasnya.
Zurinah berkata, pembayaran yang dibuat di kiosk akan menghantar maklumat pembayaran kepada sistem pangkalan data untuk dikemaskini.
Akaun bank agensi terbabit akan dikreditkan pada hari berikutnya ekoran pembayaran dibuat menggunakan e-duit, tiada sebarang kutipan, kiraan dan deposit tunai kepada agensi.
Bermula tahun 2010, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan majlis perbandaran pertama yang akan menerima pembayaran Mepscash di mesin pembayaran letak keretanya.
Katanya, selain tempat letak kereta di jalan, Mepscash juga boleh digunakan untuk membayar di beberapa tempat kereta pusat membeli belah dengan KLCC antara yang terawal menggunakan perkhidmatan tersebut.
''Selepas ini, kami berharap penggunaan Mepscash dapat diteruskan kepada pengangkutan awam, tol dan sebagainya,'' tambah Zurinah.
Sementara itu, IPS juga turut terlibat dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran wang ke luar negara terutama ke Indonesia.
''Sistem kami boleh dilanggan oleh pihak bank atau mereka yang mempunyai lesen untuk memberikan perkhidmatan tersebut kerana sistem kami adalah lebih kos efektif.
''Apa yang pelanggan perlu untuk menggunakan sistem kami adalah komputer peribadi, akses Internet dan pembaca kad pintar, manakala bagi pihak di negara luar hanya memerlukan komputer peribadi dan akses Internet,'' katanya.
Selain itu, IPS telah bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd. (BMMB) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menyediakan medium pembayaran 24 jam.
''Ia mudah dan dapat digunakan pelajar pada bila-bila masa untuk membayar yuran dan sebagainya. Selepas UIA kami mungkin akan memanjangkan perkhidmatan tersebut kepada universiti-universiti lain yang berminat,'' katanya.
- UTUSAN