Sekolah biasa pun berkualiti

Oleh ZIN MARKAM

Murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 ialah 48,171 orang, yang memohon ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pula ialah 95,826 orang sedangkan tempat yang ditawarkan di SBP hanya 6,600.

Akibatnya ada ibu bapa membuat rayuan kepada pihak tertentu dan mendesak supaya anak mereka diberikan tempat.

Demikianlah gambaran tentang keghairahan ibu bapa yang berlumba-lumba mahukan anak mereka bersekolah di SBP atau mana-mana sekolah kawalan yang seumpamanya.

Usahlah kecewa jika permohonan anak ke SBP tidak berjaya. Apa kurangnya sekolah harian biasa (SHB)? Tenaga pengajarnya berkualiti kerana berkelulusan ijazah, terlatih dan setaraf dengan guru SBP. Bahkan guru di SHB lebih hebat kerana berkemahiran memajukan pelajar daripada pelbagai tahap pencapaian akademik.

Ramai pelajar SHB yang hanya memperolehi 1A atau 2A semasa UPSR berjaya dididik sehingga mereka memperolehi 6A atau 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Bahkan terdapat kes pelajar SBP yang merosot pelajarannya berpindah ke SHB dan berjaya dibimbing dan pelajaran mereka meningkat kembali.

Jika ada pelajar 5A UPSR meneruskan pelajaran Tingkatan 1 di SHB, diyakini guru-guru sangat berbesar hati dan menyambut dengan penuh gembira; kurang tapak tangan nyiru ditadahkan. Pelajar cemerlang ini akan dipastikan menjadi 'harapan dan kebanggaan' sekolah dan menjadi penyuntik semangat kepada rakan-rakan yang lain.

Sebenarnya bukan semua pelajar sesuai tinggal di asrama. Terdapat kes pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya hidup di asrama dan memohon untuk kembali bersekolah di SHB. Ada pula pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan gaya belajar di SBP dan memohon untuk kembali ke SHB.

Biasanya pelajar yang baru berusia 13 tahun masih memerlukan bimbingan dan kemesraan daripada ibu bapa. Jadi ibu bapa perlulah mengorbankan masa dan wang ringgit untuk melawat anak di asrama. Jika anak belajar di SHB dan tinggal di rumah, tentulah ibu bapa dapat memberikan perhatian yang lebih. Jadi belajar di SHB ada kebaikannya. Bagi anak yang tidak berjaya mendapat tempat di SBP, mereka berpeluang belajar di kelas khas di SHB.

Sebab itulah SHB perlu diperkasakan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat. Dalam usaha kita mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia, tentulah malang jika terdapat sekolah yang masih kekurangan bilik darjah dan masih ada sekolah dua sesi.

Jika SBP dilengkapi bangunan dewan, sudah sewajarnya frasarana tersebut dilengkapkan di SHB. Jika jumlah pelajar di sesebuah SHB sudah mencapai 2000 orang, maka perlulah dibina segera sebuah lagi sekolah di kawasan berhampiran untuk memastikan jumlah pelajar sekolah tidak melebihi had yang boleh menjejaskan prestasi pelajar.

Jika kadar bilangan pelajar setiap kelas di SBP 30 orang, begitulah juga di SHB; bahkan perlu kurang daripada 30 orang kerana pelajar lemah memerlukan perhatian yang lebih.

Kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang masih mengutamakan pengambilan pelajar ke SBP dari keluarga di bawah Paras Garis Kemiskinan amat dialu-alukan. Inilah sebenarnya matlamat asal penubuhan SBP. Mungkin kita tidak akan lihat lagi bapa datang melawat anak dengan memandu kereta mewah. Jika ada segelintir pelajar daripada keluarga berada, maka eloklah bapa mereka datang melawat anak dengan memandu kereta nasional sahaja supaya 'tak nampak sangat' kerana banyak mata sedang memerhati.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url