Top Ad 728x90

, ,

Sindrom penafian, krisis kepimpinan Pas

Oleh NADZIR AWANG AHMAD
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan
Universiti Teknologi Mara Perlis

Seperti biasa, jika Pas mengalami sebarang isu, ia segera dinafikan oleh pemimpin-pemimpinnya. Inilah yang dikatakan 'sindrom penafian' yang sering kali digunakan oleh pemimpin Pas bagi menutup kelemahan parti.

Isu kerajaan perpaduan yang pada mulanya dicanang sendiri oleh pemimpin Pas antara detik awal bibit-bibit terjadinya krisis kepimpinan dalam Pas.

Satu pihak di dalam Pas yang memikirkan kepada perpaduan demi kepentingan Melayu-Islam berharap ia dapat direalisasikan.

Pihak yang satu lagi berfikiran demi kepentingan parti dan politik yang sempit, sanggup bersekongkol dengan parti yang sememangnya telah diketahui menidakkan 'ketuanan Melayu-Islam' yang akhirnya menyaksikan kerajaan perpaduan ini gagal.

Demi mengelirukan rakyat, Pas sekali lagi mengamalkan 'sindrom penafian' dengan menuduh UMNO yang mengutarakan isu kerajaan perpaduan.

Sindrom penafian pernah digunakan oleh Pas untuk menutup sesuatu isu seperti mana yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Manek Urai. Pas menafikan wujudnya 'krisis' antara Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Nasharuddin Mat Isa walaupun ramai yang mengatakan Timbalan Presiden Pas itu 'dihalang' datang dan berkempen semasa PRK tersebut.

Bagi mengaburi mata rakyat di kawasan tersebut, Nasharuddin dibenarkan pada saat-saat akhir datang dan gambarnya sedang makan bersama Nik Aziz disebarkan.

Ternyata 'sindrom penafian' ini berjaya menguntungkan Pas walaupun menang di DUN tersebut tetapi kemenangannya amat tipis dengan majoriti hanya 65 undi sahaja.

Sindrom penafian ini juga yang digunakan bagi menutup isu Nik Aziz yang mahu diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi 'membersihkan' pemimpin-pemimpin pro kerajaan perpaduan yang dilihat sebagai satu tindakan terdesak untuk memulihkan krisis kepimpinan yang berlaku dalam Pas.

Sekali lagi sindrom penafian ini digunakan oleh penyokong setia Pas dengan mengatakan isu EGM yang ditulis di dalam blog Nik Aziz (http://www.blogtokguru.com) bukan hasil tulisan beliau sendiri tetapi orang lain yang menulisnya. Namun isu sebenar yang melibatkan barisan kepimpinan tertinggi Pas, bukan isu kecil yang boleh ditutup dengan 'tudung saji' sahaja.

Terkini isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi yang juga menantu kepada Menteri Besar Kelantan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sekali lagi rakyat dikelirukan dengan sindrom penafian ini. Di dalam Harakahdaily, 24 November 2009 bertajuk "Keputusan Nik Aziz bukti ketinggian integriti dan moral" yang memetik kenyataan Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub dalam satu sidang media bersama Nik Aziz.

Salahudin dikatakan yakin dengan tindakan Nik Aziz mengarahkan peletakan jawatan Ariffahmi itu bukan untuk kepentingan Menteri Besar itu dan keluarganya, sebaliknya mengutamakan masa depan dan perjuangan parti. Beliau amat menyanjung tinggi integriti yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu.

Kali ini nampaknya, 'sindrom penafian' yang diamalkan oleh Pas akan memakan diri sendiri. Pendedahan demi pendedahan masalah dalaman parti dan kemelut dalaman PMBK telah menidakkan sindrom penafian oleh Pas.

Rakyat seharusnya mulai sedar dengan apa yang diperkatakan oleh pembangkang di dalam ceramah-ceramah yang diadakan hanyalah sekadar untuk mengaburi mata rakyat kononnya parti pembangkang tidak ada masalah dan semuanya boleh diselesaikan secara musyawarah.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90