7-Eleven buka 2,000 kedai

KUALA LUMPUR 21 Dis.2009 - Pengendali dan pemilik rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd., merancang untuk membuka 2,000 buah rangkaian kedai tersebut dalam tempoh tiga tahun datang

Pengarah Eksekutifnya, Ng Su Onn berkata, pada awalnya rancangan untuk membuka 2,000 kedai itu dibuat dalam tempoh lima tahun akan datang tetapi disebabkan permintaan dan sambutan yang diterima dari pelanggannya maka keputusan itu terpaksa dipercepatkan.

Katanya, sebagai permulaan 100 buah kedai baru akan dibuka mulai tahun depan di seluruh negara, sama ada melalui program francais atau dimiliki sepenuhnya oleh 7-Eleven Malaysia.

"Pelaburan yang diperlukan amat besar untuk 100 kedai yang dirancang itu dan ia memerlukan antara RM400,000 hingga RM500,000 untuk sebuah kedai termasuk yuran francais, yuran inventori stok dan deposit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara 7-Eleven Malaysia dan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) di sini hari ini.

MoU tersebut melibatkan perjanjian kerjasama dengan Pernama dengan menawarkan peluang perniagaan kepada 100 pesara tentera yang ditempatkan semula untuk bekerja di kedai itu dengan matlamat menjadi francaisi 7-Eleven.

Dalam kerjasama itu, 7-Eleven akan menyediakan latihan sambil bekerja selama tiga bulan kepada calon yang terpilih oleh Pernama dan selepas melengkapkan latihan itu calon tersebut boleh memilih untuk bekerja sebagai Pengurus Kedai atau menjalankan sendiri perniagaan itu secara francais.

Hadir menandatangani perjanjian itu ialah Pengurus Besar Pernama, Datuk Abd. Wahab Khalil sambil disaksikan oleh Pengerusi 7-Eleven, Tan Sri Vincent Tan dan Pengerusi Pernama, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd. Ali.

Menurut Su Onn, bagi memenuhi sasaran syarikat, pihaknya turut merancang mengambil alih kedai-kedai 7-Eleven sedia ada yang diuruskan oleh persendirian untuk diletakkan di bawah pengurusan syarikat.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan dari syarikat-syarikat persendirian dan individu yang berminat untuk mengendalikan kedai tersebut dan sehingga kini 1,300 pertanyaan telah diterima.

"Apa yang lebih membanggakan 66 peratus datang dari kaum bumiputra yang berminat untuk membuka 7-Eleven," katanya.

Sementara itu, Abd. Wahab berkata, program kerjasama itu akan bermula awal tahun depan dan pihaknya telah mengenal pasti calon-calon yang berminat untuk menyertai program tersebut.

Ujar beliau, melalui program itu, Pernama akan memberikan bantuan kewangan menerusi badan yang diiktiraf yang mengkhusus kepada pembangunan usahawan tempatan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) atau SME Corp.

"Ini adalah antara usaha kita untuk membantu bekas tentera kembali menjalani kehidupan sebagai orang awam dan membantu menceburi bidang perniagaan," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url