Alza terima 11,000 tempahan

Perodua Alza, kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang dilancarkan dua minggu lalu, menerima sambutan memberangsangkan apabila mencatatkan 11,000 unit tempatan setakat semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, berkata daripada jumlah tempahan yang diterima itu, sebanyak 61 peratus adalah untuk versi premium manakala 12 peratus lagi versi standard.

Katanya, sebanyak 83 peratus daripada tempahan itu memilih Alza transmisi automatik, manakala 17 peratus transmisi manual.

“Angka tempahan itu mencerminkan keyakinan pengguna terhadap MPV kami dan dengan kelebihan yang dimiliki Alza serta Myvi dan Viva, syarikat yakin mampu meningkatkan penguasaannya dalam pasaran kenderaan tempatan kepada 33.3 peratus tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada empat pemenang kempen ‘Lucky Myvi Moment for 4’ iaitu Shamsiah Abd Kadir; Ismadi Ngah @ Ismail; Lee Thiam Hock; dan Habibah Ismail, di Shah Alam, semalam.

Hadir sama Aminar Rashid Salleh, iaitu bakal pengganti Syed Abdull Hafiz yang tidak memperbaharui kontraknya yang akan tamat hujung tahun ini.

Buat permulaan, Perodua menawarkan Alza dalam empat varian, iaitu versi standard manual dan automatik serta versi premium manual dan automatik yang ditawarkan pada harga atas jalan antara RM56,000 hingga RM64,000 seunit.

Syarikat itu turut akan menawarkan versi mewah Alza manual dan automatik mulai Mac tahun depan pada harga atas jalan antara RM67,000 dan RM70,000 seunit.

Syed Abdull Hafiz memberi jaminan meskipun angka tempahan bagi Alza yang diterima terus meningkat, pihaknya komited memastikan pelanggan tidak menunggu terlalu lama untuk memiliki model berkenaan.

Beliau menambah, walaupun sambutan ke atas Alza amat menggalakkan, Myvi dan Viva turut berjaya mencatatkan kadar tempahan yang baik dengan masing-masing merekodkan angka tempahan sebanyak 10,000 unit dan 7,700 unit sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Syed Abdull Hafiz berkata, Perodua turut bercadang memperbesarkan kilang pengeluarannya yang berkeluasan 138 hektar di Sungai Choh, Rawang, Selangor, menjelang Mac depan.

Katanya, ini adalah bagi memenuhi peningkatan permintaan masa depan bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kilang Perodua di Sungai Choh mesti di naik taraf tahun depan, jika kami mahu mengembangkan pasaran, termasuk pasaran eksport,” katanya.

Kemudahan kilang pengeluaran itu ketika ini mempunyai kapasiti mengeluarkan 250,000 unit kenderaan setahun dengan dua giliran waktu bekerja.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url