Amalina tak layan khabar angin


Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri, enggan melayan tuduhan palsu dan khabar angin mengenai kegagalannya dalam pengajian di Universiti Edinburgh, United Kingdom (UK), sebaliknya menjadikannya sebagai dorongan untuk berusaha lebih gigih.

Beliau berkata tohmahan itu dilakukan mereka yang iri hati dan menganggapnya dugaan berikutan banyak tumpuan diberikan pelbagai pihak kepadanya selama ini.

"Biarkan saja apa orang kata, kerana saya tidak mempunyai masa untuk melayannya. Malah, semua khabar angin itu mendorong saya bertekad untuk berusaha lebih gigih sehingga berjaya.

"Jika saya memberi reaksi semua cakap-cakap, ia hanya memanjangkan isu itu. Saya berasakan orang tidak akan puas bercakap mengenai diri saya sampai bila-bila pun," katanya ketika dihubungi di Milan, Itali, semalam.

Nur Amalina yang kini sedang mengikuti ijazah berganda dalam bidang Farmakologi dengan Pengalaman Industri (Pharmacology with Industrial Experience), berada di Milan kerana mengunjungi keluarga angkatnya.

Beliau juga tidak pernah berasa tertekan dengan khabar angin dan tuduhan palsu itu kerana mendapat sokongan keluarga dan rakannya.

"Mereka tahu cerita sebenar dan sering memberikan sokongan serta dorongan kepada saya ketika menghadapi tohmahan seumpama itu. Oleh itu, dakwaan terbaru mengenai diri saya tidak memberikan tekanan dan menjejaskan kehidupan saya," katanya.

Ditanya bagaimana mengetahui khabar angin itu, Nur Amalina berkata, beliau diberitahu rakannya yang menunjukkan sebuah blog menyebarkan dakwaan kegagalannya.

Namun, beliau tidak pasti motif sebenar penulis blog terbabit, namun tidak menolak kemungkinan ada yang tidak berpuas hati atau iri hati dengan kecemerlangan yang dicapainya selama ini.

"Saya tidak tahu motif semua cerita buruk itu. Saya tidak berasa terganggu apatah lagi ini (khabar angin) adalah kali kedua saya hadapi... jadi saya sudah berasa kebal dan lebih bersedia, " katanya.

Nur Amalina juga berkata, beliau seronok menuntut di universiti berkenaan kerana sering mendapat sokongan pensyarah dan rakan, selain tidak sabar untuk pulang bercuti ke tanah air.

"Insya-Allah, saya merancang berhari raya di Malaysia tahun depan sempena cuti musim panas pada Jun hingga September kerana ini kali pertama saya akan meraikan Aidilfitri di sana sejak melanjutkan pengajian di UK, " katanya.

- BERITA HARIAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url