Elakkan stigma dan label politik negatif
Peranan media bukan sekadar menjadi penyampai berita tetapi memberi maklumat dan sumber ilmu sama ada yang khusus mahupun secara umum.
Penerbitan akhbar perdana mahupun tabloid membuktikan media bukan dimonopoli oleh satu dua syarikat gergasi sahaja.
Dewasa ini penerbitan media perdana seperti Utusan Malaysia dilabel oleh pihak tertentu sebagai akhbar vernakular atau lidah bahasa rasmi orang Melayu.
Ia dikatakan hanya memperjuangkan bangsa majoriti semata-mata. Dengan lain kata akhbar ini didakwa mempunyai agenda yang bersifat perkauman dan tidak memperjuangkan hak-hak kaum lain.
Namun ia sekadar pendapat jumud oleh mereka yang buta sejarah. Adakah selama 52 tahun merdeka, media perdana tidak memainkan peranan sebagai penyampai fikiran rasional rakyat secara menyeluruh atau hanya orang Melayu yang membaca akhbar ini.
Kewujudan akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 di Singapura yang kemudiannya menjadi Utusan Malaysia dan berpindah ke Tanah Melayu pada Februari 1958 dilihat sebagai pencetus usaha memperjuangkan permasalahan rakyat seiring dengan motto akhbar ini "Penyebar Fikiran Rakyat".
Sebagai akhbar berbahasa Melayu yang tertua, ia tidak dapat lari daripada perjuangan orang Melayu yang didominasi oleh UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional (BN).
Kemiskinan orang Melayu, jurang pendidikan, ketidakseimbangan ekonomi selepas kita mengecap kemerdekaan semuanya menjadi asas-asas pemberitaan walau dilabel sebagai akhbar suara pemerintah.
Namun, adakah akhbar-akhbar lain yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing tidak memperjuangkan permasalahan hidup kaum mereka?
Adakah melaporkan realiti yang tersurat dan tersirat itu merupakan satu kesalahan? Adakah ia rasis dan hanya menyokong sesuatu parti politik?
Adakah perjuangan kesemua Perdana Menteri berbangsa Melayu hanya untuk menekan bangsa lain selama lebih setengah abad dan bangsa Melayu telah menjadi tuan dalam erti kata sebenar?
Kenapa media dianggap berniat jahat hanya kerana gagal melihat 'sisi baik' pembangkang sedangkan tindak-tanduk mereka yang ingin merebut kembali kuasa di Perak menjadi perkara yang pelik juga.
Begitu juga di Pulau Pinang, adakah layak kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz disamakan dengan kepimpinan pemimpin yang memijak gambar orang yang dianggap 'penderhaka' dalam perjuangan mereka.
Politik yang mengatakan orang itu dan ini sebagai rasis perlu dikebumikan dan bukannya BN atau akhbar Utusan Malaysia yang telah berjasa selama ini.
Kita perlu menghentikan stigma dan label negatif terhadap media mahupun institusi tertentu hanya kerana kita berada di tampuk kuasa.
Setiap orang dan organisasi ada misi dan visi mereka. Menuding pihak yang tidak disenangi tindakan mereka sebagi rasis dan rasuah jelas memperlihatkan pandangan tidak logik oleh pihak-pihak tertentu.
Mereka ini tidak mahu melihat cermin pandang belakang untuk melihat apakah rasional tindakan pihak yang dituduh sebagai rasis tersebut.
Orang Melayu dijajah selama 446 tahun. Jadi tidak layakkah media vernakular berbahasa Melayu memperjuangkan kelangsungan hidup Melayu sebagi bangsa pribumi?
Bangsa Melayu telah terseksa dan terkongkong minda mereka di bawah penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.
Hari ini walaupun penjajah telah lama angkat kaki, namun sisa-sisa penjajahan mereka masih lagi diterima oleh kita kerana orang Melayu berhati besar dan mudah menerima orang lain asal sahaja tahu adat dan undang-undang.
Peraturan sivil penjajah masih lagi bertapak namun kita sedang beransur-ansur memperkasakan undang-undang negara mengikut acuan kita sendiri.
Jika kita asyik mengungkit perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah lama selesai, bilakah negara kita akan maju?
Orang lain berlari ke depan kita asyik membicarakan soal orang itu dapat lebih orang ini dapat sedikit.
Adakah kuasa yang dikurniakan rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-12 tidak cukup untuk mereka melaksanaakan manifesto negara kebajikan, sama rata dan sama rasa yang diidamkan oleh mereka?
Dalam soal bernegara di bawah demokrasi berparlimen, - sistem pemerintahan dengan menjunjung Raja Berpelembagaan, hanya dua perkara yang perlu diambil kisah dan soal diri sendiri perlu diketepikan iaitu ada pemimpin dan ada rakyat.
Pemimpin berkhidmat untuk rakyat dan rakyat memerlukan pemimpin untuk membela mereka.
Jika pemimpin masih tidak mengerti dua perkara asas ini lebih baik letak jawatan dan jadilah rakyat terpimpin.
Kita tidak perlu mengatakan media sebagai punca perancangan dan projek untuk rakyat gagal kerana rakyat ada wakil di dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.
Kalau pemimpin dilihat banyak bercakap dan hanya bijak merancang dan melancarkan perang saraf, tiada siapa yang akan menang.
Malah paling malang, rakyat yang menanggung kegagalan. Rakyat sebenarnya gagal menilai siapa yang membela dan siapa yang mencela hak-hak mutlak mereka.
Hari ini ada yang menuding jari ke arah media sebagai berniat jahat kerana dianggap rasis. Namun empat jari yang lain menuding kepada siapa?
Apa yang menyedihkan bangsa yang dianggap tuan itu masih lagi menjadi pekerja kepada sekian banyak majikan berbangsa asing.
Bukanlah kita hendak mengungkit tahap maksimum kerana kalau kita ke kedai di pekan-pekan kecil seperti Banting, hampir 90 peratus kedai adalah milik keturunan Cina dan India termasuk peniaga keturunan Minang dan Kemboja.
Kedai makan pula dikuasai oleh keturunan mamak dan kedai Melayu hanya di kedai milik Majlis Daerah Kuala Langat.
Adakah pandangan sinikal media menjadikan pembangkang resah dan gelisah sedangkan daripada segi ekonomi, orang Cina dan India masih boleh tersenyum.
Orang Melayu adalah pelanggan tetap mereka dan akan kekal begitu sebab Melayu dikatakan ada "penyakit mudah lupa".
Rakyat yang berbangsa Melayu inilah masyarakat pengguna nombor wahid dan mewakili golongan pekerja yang menjadikan bangsa lain makmur dan sejahtera.
Jadi jika dituduh bangsa Melayu rasis, golongan manakah yang rasis sebenarnya?
Justeru, mengapa mempersoalkan hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan sedangkan orang-orang Melayulah yang membantu rakyat keturunan lain menjayakan program ekonomi mereka.
Adakah media menjadi rasis hanya kerana sayangkan bangsa? Atau sistem masyarakat kita yang sudah terlalu selesa diulit kemewahan ekonomi dan sedikit kuasa politik hingga melampau-lampau melabel pihak lain yang tidak sebulu dengannya.
Adalah lebih afdal jika ahli-ahli Parlimen diwajib menduduki peperiksaan subjek sejarah nasionalisme daripada dibiarkan sibuk dengan 'aktiviti wajib' lain hingga tidak sempat hadir ke dewan untuk meluluskan Bajet 2010.
Dalam pada itu mereka ini terus-terusan gagal membendung label dan stigma yang dibuat oleh pembangkang dari semasa ke semasa. Jadi salahkah media bertindak memberi ingatan?
- UTUSAN