Hidup Eja kini sempurna


Dramatis terkenal yang bernama Siti Shahrizah Saifuddin ini dengan penuh jujur mengakui dia memang seorang yang cukup pentingkan diri sendiri.

Fokus utamanya hanyalah untuk diri dan kerjayanya sahaja biarpun ketika itu dia sudah pun bergelar seorang isteri kepada seorang ahli perniagaan bernama Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49.

Malah, sepanjang perkahwinannya lebih 10 tahun lalu Siti Shahrizah atau nama glamornya, Eja, 37, sendiri tidak pernah terfikir untuk menimang cahaya mata.

Apatah lagi, suaminya juga tidak pernah mendesak mahupun memaksanya untuk melahirkan zuriat.

Cuma kata Eja, ketika itu hanya ibunya sahaja yang pernah memberi bayangan dengan kata-kata yang penuh beralas bilakah lagi dirinya akan memiliki anak sendiri memandangkan usianya yang semakin meningkat.

Tetapi, bagi Eja semuanya berubah Oktober lalu sewaktu dia berada di Mekah bagi menjalani penggambaran drama bersiri Tasbih Cinta arahan Erma Fatima.

Di kesempatan itu juga dia menunaikan umrah sebanyak dua kali dan ketika itu, baru dia sedar bahawa hidupnya begitu kosong dan sunyi sekali.

Menadah tangan dan meminta petunjuk dari Sang Pencipta untuk memberikan jawapan, akhirnya Eja menemui jalan penyelesaiannya apabila hatinya terbuka dan bersedia untuk menimang cahaya mata.

Tidak pernah menyesal untuk mengandung dan melahirkan anak pertamanya, Nur Eishal Mohd. Silahuddin yang kini berusia tiga bulan ketika usianya menghampiri angka 40, bagi Eja apa yang berlaku semuanya telah tertulis di loh mahfuz.

"Memang benar hidup ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT dan hanya di tangan Dia sahaja layak menentukan apa yang terbaik untuk kita sebagai hamba-Nya.

"Memang pada awalnya saya begitu seronok melayari kehidupan rumah tangga hanya berdua bersama suami.

"Tetapi, sampai ke satu tahap saya fikir sampai bila saya perlu meneruskan kehidupan dengan hanya kami berdua dan akhirnya, apabila Nur Eishal muncul, ia telah mengubah hidup saya secara total.

"Bukan itu sahaja, kehidupan saya sebagai seorang wanita juga kini menjadi lebih sempurna dan lengkap dengan kelahiran Nur Eishal," katanya dalam nada bersyukur dan bersungguh.

Eja berkata demikian pada majlis memperkenalkan Nur Eishal kepada pihak media yang diadakan di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Bukan hanya Nur Eishal, tetapi Eja juga tidak lagi berahsia apabila dia turut memperkenalkan suaminya kepada tetamu biarpun ramai sudah mengetahui Mohd. Silahuddin sudah sah menjadi suaminya lebih sedekad yang lalu.

"Saya juga tidak mahu menyorok lagi kerana semuanya adalah demi masa depan Nur Eishal dan apa yang saya lakukan selama ini pun, itu adalah pendirian saya.

"Memang dari dulu lagi sudah saya tegaskan bahawa saya mahu kisah kerjaya saya ditonjolkan berbanding dengan kehidupan peribadi.

"Dengan penganjuran majlis ini, saya berharap semua pihak berpuas hati dan tidak lagi melabelkan saya dengan pelbagai panggilan negatif," jelasnya yang mengambil keputusan untuk tidak terlalu mendedahkan anak dan suaminya dengan keterlaluan di media.

Dalam majlis yang sama, pelakon drama bersiri Mya Zara dan Rahsia Demi Rahsia itu turut mengumumkan dirinya kini sudah dilantik sebagai duta kepada produk kecantikan dan pelansingan badan Bio-Essence selama dua tahu.

Dengan pelantikan itu, Eja kini sah menggantikan pelakon Sharifah Shahirah yang sebelum ini merupakan duta untuk produk berkenaan.

Menyambung bicara, Eja yang kelihatan berseri pada petang itu tidak henti-henti melafazkan kesyukuran dengan kelahiran Nur Eishal yang banyak mengajarnya tentang erti kesabaran dan ketabahan.

Mana tidaknya, barulah kini Eja tahu bagaimana perasaan dan pengalaman menjadi seorang ibu yang memang menuntut tahap kesabaran yang tinggi.

Mujur ujar Eja, dia bertuah kerana ibunya tidak pernah lelah membantunya dan sering kali menasihati serta mengingatkannya ketika menjaga anak sulungnya itu.

"Saya tidak nafikan memang penat dan saya juga tidak dapat lari dari rasa tertekan tetapi ibu banyak membantu saya.

"Kalau dia lihat saya mula rasa gelisah dan tidak selesa dengan kerenah Nur Eishal, dia akan mengingatkan saya bahawa itulah perasaannya ketika menjaga saya dahulu," cerita Eja sambil ketawa kepada pihak media yang khusyuk mendengarnya bercerita tentang pengalaman menjadi seorang ibu.

Nur Eishal yang membawa maksud cahaya bunga syurga itu dilahirkan pada 3 September lalu tepat pukul 1.36 petang di Pusat Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor dengan berat sebanyak 2.69 kilogram.

Walau bagaimanapun, Eja menjelaskan tarikh itu sebenarnya tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada 24 September lalu.

Dalam masa yang sama, Eja juga meningkah dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya sengaja tidak mahu hamil atas beberapa faktor seperti kegemukan dan populariti merudum.

Kata Eja, bukan kerana faktor itu tetapi dia sendiri yang belum bersedia untuk menjadi seorang ibu kerana memikirkan tanggungjawab besar yang harus digalasnya sebagai seorang ibu.

Baginya, untuk mendidik dan menjaga anak bukanlah satu tugas yang mudah kerana anak merupakan amanah dari Allah SWT.

"Jadi, kalau saya tidak bersedia bagaimana saya hendak menjalankan tugas saya dengan baik? Tetapi, saya bersyukur kerana memiliki suami dan keluarga yang banyak menyokong dan membantu.

"Kini hidup saya semuanya untuk Nur Eishal dan bukan lagi tentang diri saya. Sememangnya hidup saya benar-benar berubah," jelasnya yang menyifatkan Nur Eishal tidak banyak kerenah melainkan untuk ditukar lampin, lapar dan mahu tidur sahaja.

Ditanya tentang ilham nama Nur Eishal itu, Eja menjelaskan dia sendiri yang mahukan anaknya itu mempunyai nama Nur di awalannya.

Ini kerana dia mahu menampilkan perbezaan dan tidak mahu anaknya mempunyai nama Siti seperti mana dirinya kerana jelas Eja, adik-beradiknya semua mempunyai nama Siti.

"Untuk nama Eishal pula, saya beritahu kepada suami yang saya mahu anak kami bermula dengan huruf E.

"Lantas, dia pun mencarinya di Internet dan daripada situ dia tertarik dengan nama Eishal itu," kata Eja yang menggelarkan dirinya sebagai Ummi manakala Silahuddin pula sebagai daddy.

Tambah Eja, apabila memikirkan tentang panggilan diri untuk anaknya, dia memang agak konservatif dan kerana itu dia memilih Ummi.

Manakala panggilan daddy untuk Silahuddin pula, jelas Eja ia adalah kerana dua anak Silahuddin menerusi perkahwinan pertamanya sebelum ini memanggilnya dengan gelaran itu.

"Jadi, tidak manis kalau ditukar kepada panggilan lain dan kami bersetuju untuk meneruskan dengan panggilan daddy," ujarnya yang memang rapat dengan dua anak tirinya, Khatijah Jamaluddin, 17, dan Shane Jacob Jamaluddin, 13, yang kini menetap di Sydney, Australia.

Melihat gaya Eja melayan Nur Eishal dengan sepenuh kasih sayang, memang terpancar jelas dia menatang anak sulungnya bagaikan minyak yang penuh.

Jadi, adakah itu bermakna Eja akan memanjakan anaknya dengan menurut apa sahaja kehendak puteri sulungnya itu sementelah kehidupan Eja juga boleh dikategorikan dalam golongan mereka yang berkemampuan.

Sambil tersenyum manis, pelakon filem Kayangan dan Sara ini menjelaskan dia dan suaminya sama sekali tidak akan melimpahkan kemewahan dan memanjakan anaknya.

Malah, Eja dan Silahuddin juga mendidik anak mereka dari kecil dengan menjadi seorang yang berdikari selain melayani kerenah serta berkomunikasi dengan anaknya seperti orang dewasa.

Apa yang penting adalah bersikap sederhana dalam apa jua aspek kerana bagi Eja, fokus utamanya adalah untuk memastikan kehidupan serta masa depan Nur Eishal terjamin dengan persediaan yang dilakukan olehnya dan suami.

"Saya percaya semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan begitu juga dengan saya.

"Kami berdua amat menitik beratkan pendidikan duniawi dan akhirat kerana kami mahu Nur Eishal menjadi seorang anak yang solehah serta dapat mendoakan untuk kami apabila Ummi dan daddynya sudah tiada nanti," kata Eja penuh harapan.

Mengenai dunia lakonan pula, Eja memberitahu dia hanya akan kembali aktif sekitar bulan Februari depan dan memandangkan keadaan Nur Eishal yang masih kecil, dia hanya akan menumpukan perhatian kepada lokasi di sekitar Lembah Kelang sahaja.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url