Pengiraan merit ke IPTA diubah
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata perubahan itu selaras dengan dasar baru pendidikan yang mahu menjadikan kegiatan sukan dan pakaian seragam sebagai kokurikulum wajib, sekali gus mengelakkan pelajar menumpu akademik semata-mata.
"Kementerian bagaimanapun belum memutuskan berapa peratus akademik dan berapa peratus kokurikulum sebagai syarat masuk IPTA. Namun, yang pasti kuota asas kokurikulum dinaikkan.
"Akademik semata-mata tidak melahirkan modal insan cemerlang. Sebab itu pentingnya pembabitan dalam kokurikulum kerana banyak nilai murni boleh dipelajari melaluinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah-Musleh di sini, semalam. Seramai 1226 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menyertai perkhemahan itu.
Mohd Puad berkata, langkah mewajibkan kegiatan kokurikulum itu juga berikutan pada masa ini kebanyakan sekolah tidak lagi memberi penekanan kepada kegiatan luar menyebabkan pelajar tidak mengambil serius dengan aktiviti sukan dan pasukan seragam.
Ditanya persediaan kementerian, terutama jumlah guru sukan apabila dasar baru kokurikulum sekolah itu dilaksanakan, beliau berkata, guru sukan terlatih akan dihantar ke beberapa sekolah terpilih terlebih dulu.
"Perkara ini akan dibuat secara beransur-ansur. Guru sukan terlatih itu akan dihantar ke sekolah terpilih dan sebagai permulaan mungkin empat atau lima buah sekolah berdekatan berkongsi guru sukan sama.
"Kita tahu ada sekolah yang tiada padang dan bukan semua sekolah berdekatan dengan stadium mini. Sebab itu dasar baru ini akan dibuat secara perlahan-lahan," katanya.
- BERITA HARIAN