SGM iktiraf profesion guru, bukan bebanan

Oleh Rohaniza Idris

Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu lalu melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM), timbul persoalan sama ada guru yang ada sekarang tiada kualiti atau kekurangan mutu perkhidmatan? Perlukah piawaian itu dilaksanakan sekarang dan kenapa hanya sekarang ia mahu dilaksanakan?.

Persoalan itu kemudian dijawab Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan-Persatuan Guru Malaysia, Jemale Paiman, bahawa guru-guru di Malaysia sudah ada standard, namun piawaian itu perlu dimantapkan lagi supaya sesuai dengan keadaan semasa selain menepati standard global.

Katanya, SGM bukannya perkara baru kerana ia memang sudah ada. Dan apa yang dilancarkan baru-baru ini sudah dimantapkan dan perlu diguna pakai oleh institut pendidikan perguruan (IPG) untuk melahirkan warga pendidik yang lebih berkualiti.

"Ia (SGM) adalah usaha meningkatkan profesionalisme perguruan bukannya pengkelasan guru. Bermakna, dengan adanya SGM yang digunakan IPG, kita akan melahirkan warga pendidik berkualiti untuk pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, selain meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah serta mewujudkan kemahiran inter dan intra personal.

"Kemahiran inter dan intra personal bermaksud kita dapat melahirkan warga pendidik yang bijak mengurus dan berkomunikasi dengan warga sekolah dan komuniti sekelilingnya," katanya.

Perkara itu juga dipersetujui Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd Arsad, yang berpendapat SGM akan meningkatkan lagi imej warga pendidik di kalangan masyarakat.

Pada masa sama, persepsi bahawa bidang perguruan sebagai pilihan kerjaya terakhir selepas gagal mendapat pekerjaan lain, tidak akan timbul lagi.

"SGM adalah piawaian seperti standard dalam bidang profesional lain seperti arkitek, peguam dan akauntan. Standard ini juga bukan hanya bertumpu kepada profesionalisme, tetapi siasah, pencapaian dan meningkatkan minat warga pendidik terhadap kerjaya perguruan.

"Bermakna, apabila kita mempunyai guru yang mempunyai standard, bidang pendidikan iaitu pengajaran dan pembelajaran juga ditingkatkan sesuai dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini hab pendidikan pada peringkat global," katanya.

Beliau juga percaya SGM sebagai satu usaha murni sesuai perkembangan pendidikan global selain memenuhi keperluan ibu bapa yang mahukan pendidikan bertaraf dunia untuk anak masing-masing.

SGM bukan sekadar piawaian, sebaliknya akan dijadikan penanda aras kepada 300,000 guru yang mengajar, secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

Ia menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.

Dokumen itu juga disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti.

Mengikut dokumen itu, amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama iaitu diri, profesion dan sosial. Domain diri merujuk pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar mereka boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada profesion keguruan.

Profesion pula merujuk pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketrampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif, manakala domain sosial sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Aspek kedua, menuntut guru memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif.

Bidang pengetahuan yang patut dikuasai guru termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif, menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.

Aspek ketiga memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum yang menuntut pelbagai kemahiran, termasuk mengurus bilik darjah yang membabitkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang berkesan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang juga pertubuhan guru terbesar di negara ini dengan 120,000 ahli dalam reaksinya pula, memberi jaminan SGM yang dilancarkan itu boleh mencapai matlamatnya. Namun, ia mahukan standard berkenaan ditetapkan segera dan garis panduan jelas diperkenalkan supaya lebih mudah guru mengikuti dan melaksanakannya.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu kerana ia sejajar dengan dasar kesatuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar melalui guru yang berkelayakan dan berdedikasi.

"Ketika ini, masih ada kekurangan dan wujud kesukaran bagi guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan kerajaan dan masyarakat," katanya yang berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka.

Turut gembira dan mengalu-alukan SGM, Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN) yang menganggap standard itu menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara mempunyai piawaian untuk pendidikan.

"Ia perlu dipuji kerana mampu menjadi penanda aras selain menjamin mutu dan kualiti guru sebagai penentu masa hadapan anak bangsa. SGM memberi gambaran jelas mengenai tugas guru," katanya.

Beliau berpendapat dengan adanya SGM, ia memberi gambaran jelas tugas guru yang sebenarnya dan berharap SGM diguna pakai secara berterusan dan bukannya secara bermusim.

Selain itu, beliau mahu senarai semakan iaitu penilaian kendiri kepada setiap guru bagi memastikan aspek yang ditekankan dalam SGM diguna pakai dan ada pada setiap guru.

"SGM ini bukan saja perlu digunakan kepada mereka yang bergelar guru tidak kira mereka yang baru bekerja atau yang sudah bersara namun mereka yang masih mengajar," katanya.

Hakikatnya, di sebalik reaksi positif yang diberikan kalangan pendidik dan ibu bapa, sebenarnya terkandung tanggungjawab besar digalas guru-guru ini. Mereka tidak harus menganggapnya SGM satu bebanan, tetapi pengiktirafan bagi melahirkan golongan pendidik yang profesional, berdaya saing, berwibawa dan disegani.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url