Tahun gemilang Barca
Meskipun Barcelona mencatat sejarah baru dalam bola sepak dengan memenangi enam gelaran dalam masa setahun, kelab gergasi Sepanyol itu masih tetap dahagakan kejayaan.
Selepas Pemain Terbaik Eropah, Lionel Messi menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Estudiantes pada masa tambahan final Piala Kelab Dunia kelmarin, jurulatih Barca, Pep Guardiola sudah mula memikirkan tentang misi mereka mempertahankan enam trofi tersebut.
"Ini adalah matlamat saya, tanggungjawab saya. Saya harus melakukannya walaupun tidak pasti bagaimana caranya," kata Guardiola.
Barca telah menewaskan Manchester United, Shakhtar Donetsk dan Athletic Bilbao sebanyak dua kali untuk memenangi empat trofi sebelum mencatat kemenangan besar 6-2 ke atas Real Madrid untuk menjulang gelaran Liga Sepanyol buat kali ke-19 Jun lepas.
"Bagi saya ia satu tahun yang gemilang. Kami telah mencapai sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh sesiapa pun di dunia," kata Guardiola.
"Saya bertuah kerana memiliki pemain berkualiti seperti ini dalam skuad. Saya berterima kasih kepada mereka.
"Saya juga mahu memberi penghargaan yang sama kepada pemain yang bersama kami musim lepas kerana mereka juga (Samuel Eto'o, Eidur Gudjohnsen dan Sylvinho) sebahagian daripada kejayaan ini," tambah Guardiola.
"Untuk mengecapi enam kejayaan amat sukar dipercayai. Banyak perkara yang menyumbang ke atas kejayaan ini. Kami telah melalui tahun terbaik dalam sejarah kelab ini."
Pada perlawanan kelmarin, Estudiantes, juara kelab Amerika Selatan, mendahului 1-0 menerusi tandukan Mauro Boselli pada minit ke-37.
Namun, pemain gantian Pedro Rodriguez menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-89 sebelum Messi memberi gol kemenangan kepada Barca pada minit ke-110.-AGENSI