"Tak apa bukan Islam turut bertakbir" - Mufti Perak
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, orang bukan Islam juga boleh bertakbir namun ia hendahklah dilakukan atas alasan bukan untuk mempersendakan Islam.
"Tak salah, bukan menjadi satu kesalahan kalau mereka turut sama bertakbir, tapi haruslah bukan dengan niat nak main-main (mempersenda) Islam.
"Bertakbirlah kalau seseorang itu mahu, tapi tak dapat pahalalah macam kita orang Islam.
"Kita bertakbir menyebut nama Allah dan memuji-muji kekuasaan Allah," katanya kepada mStar Online.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai bahawa pernah bertakbir raya sehari sebelum Aidilfitri lalu seperti yang dilaporkan media hari ini.
Bukti perlakuan tersebut terdapat dalam rakaman video di laman Youtube yang menyiarkan dirinya lengkap berbaju Melayu dan bersongkok dilihat bersama-sama sekumpulan lelaki Islam bertakbir raya dalam sebuah majlis hari raya di sebuah rumah.
Malah difahamkan juga, sebelum ini, ada individu tertentu menyebarkan gambar-gambar Ming Kai bertakbir dari rumah ke rumah di sekitar bandar raya Ipoh semasa hari raya Aidilfitri lalu.
Dalam pada itu, ditanya sama ada tindakan Ming Kai itu boleh disamakan dengan isu pemimpin DAP memberikan salam dan membaca ayat suci al-Quran dalam majlis-majlis ceramah anjuran mereka, Harussani berkata isu berkenaan tidak boleh disamakan.
"Tidak...tidak...tidak, tak boleh samakan dua isu ini. Bertakbir raya lain, baca ayat al-Quran pula lain.
"Orang bukan Islam guna ayat al-Quran untuk berceramah tak boleh sebab mereka sebut pun tak betul, mereka tak faham apa yang mereka cakapkan.
"Bila tak faham maknanya, macam mana pula nak kaitkan dengan isi kandungan ceramah mereka," katanya.
- MSTAR