Tiger Woods makin tertekan
Kesunyian malam di Windermere terganggu dengan dentuman kuat kira-kira jam 2.30 pagi 27 November lalu, diikuti pelbagai bunyi yang memaksa penduduk sekitar bergegas bangun daripada tidur.
Di luar, sebuah kereta pacuan empat roda — Cadillac Escalade — remuk dan tersadai di bawah pokok. Satu pili bomba yang ada berhampiran pula rosak teruk. Serpihan kaca dari tingkap kenderaan itu bertaburan di sekitarnya.
Di atas jalan, seorang lelaki berseluar pendek dan tanpa kasut terbaring sambil membiarkan darah mengalir daripada mulutnya.
Kalangan jiran segera mengenali lelaki itu adalah Tiger Woods. Dia kelihatan membuka matanya seketika sebelum pengsan sekali lagi.
Ketika anggota paramedik tiba, mereka kelihatan meramas kaki Woods untuk memastikan sama ada dia lumpuh atau sebaliknya.
“Woods membuka matanya sedikit dan mengerang kesakitan,” kata saksi.
Ketika sesetengah jiran menyangka Woods akan menemui ajalnya pada awal pagi itu, isteri jaguh golf berkenaan — Elin Nordegren — menangis teresak-esak dan jelas ketakutan.
Saksi berkata, apabila Woods diusung memasuki ambulans, Elin dilihat berkata: “Saya sayangkan kamu.”
Berbanding keadaan kereta dan dirinya sejurus selepas kemalangan, kecederaan Woods tidak langsung membimbangkan. Hanya sehari ditahan dalam wad, Woods dibenarkan pulang tidak lama kemudian.
Dia kemudian didakwa memandu secara berbahaya dan boleh didenda kira-kira RM560.
Namun, kemalangan itulah yang mencetuskan pendedahan satu demi satu kisah kecurangan Woods bersama sekurang-kurangnya 10 wanita.
Kecurigaan itu bermula sejak keengganan Woods, 33, memberi banyak komen mengenai insiden berkenaan, sebaliknya hanya mengakui ‘kesilapan’ sendiri.
Keengganan Woods memberi kerjasama kepada polis yang menjalankan siasatan terhadap kes itu semakin menguatkan rasa ingin tahu orang ramai terhadapnya.
“Saya sedar rasa ingin tahu orang ramai sangat tinggi, tetapi saya berhak untuk tidak diganggu,” tulis Woods di laman webnya pada 29 November lalu.
Berdasarkan keterangan Elin, 29, dan Woods, insiden itu sekadar kemalangan biasa dan tiada kena-mengena dengan krisis rumah tangga. Malah, Woods mendakwa Elin orang pertama datang menyelamatkannya daripada kenderaan itu.
Versi sumber lain pula berkata, bekas model kelahiran Sweden itu mengamuk apabila mendapat tahu Woods meniduri pelayan kelab malam, Rachel Uchitel.
Laporan itu dimuatkan majalah National Enquirer dua hari sebelum kemalangan berlaku. Menurut majalah itu, Woods bertemu Rachel, 34, di sebuah kelab malam awal tahun ini.
Sumber berkata, Rachel adalah pelayan orang kenamaan dan selebriti. Rachel sendiri dilaporkan mengaku menjalin hubungan dengan Woods kepada beberapa rakannya.
“Tiada siapa mampu mengelak daripada terpikat kepada Rachel. Dia mudah dapat menakluk mana-mana lelaki yang diingini,” kata sumber.
Sumber lain berkata, selepas mengikuti Woods ke luar negara, Rachel seolah-olah dilamun cinta. Katanya, Woods juga menghubungi Rachel sejurus selepas kemalangan pada akhir November itu.
Bagaimanapun, laporan rasmi menunjukkan Rachel menafikan dia menjalin hubungan sulit atau emosi dengan Woods.
Satu lagi nama yang terawal muncul sejak insiden itu adalah Jaimee Grubbs. Menurut majalah Us, Jaimee baru berusia 21 tahun ketika bertemu Woods kali pertama.
Kata Jaimee, 24, perkenalannya dengan Woods bermula apabila pemain golf itu menepuk bahunya di sebuah kelab malam di Los Angeles dan berkata: “Anda kelihatan tidak seronok.”
Rakan Jaimee berkata, peribadi pelayan itu menyebabkan dia tidak yakin cerita itu direka-reka.
“Jaimee bersifat terbuka, jujur dan boleh dipercayai,” katanya.
Sementara itu, laman web berita, TMZ.com, melaporkan, Woods cuba melarikan diri dari rumah selepas Elin naik angin dengan kecurangannya.
Ketika di peringkat awal pemanduan, Elin memukul cermin kereta dengan kayu golf menyebabkan Woods hilang kawalan dan merempuh pili bomba serta pokok.
Mengelak ia jadi lebih tidak terkawal, Woods tampil mengakui ‘kesalahannya’.
“Satu-satunya pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan ini adalah saya. Saya manusia biasa yang tidak sempurna,” kata Woods dalam laman webnya.
Namun, kenyataan itu tetap gagal menjawab beberapa persoalan. Misalnya, mengapa dia meninggalkan rumah pada jam 2.30 pagi? Apakah ‘kesalahan’ dilakukannya? Adakah dia dikejar sesiapa sebelum pelanggaran?
Bagi pihak yang mengenali Woods, mereka yakin atlit itu tidak akan mendedahkan apa-apa cerita selepas ini.
“Begitulah sifat Woods menangani tekanan — tidak memberi komen atau sekadar memberi kenyataan positif,” kata seorang daripada mereka.
Selepas melakar nama sebagai jaguh golf, bintang Woods mula pudar selepas berkahwin dengan Elin pada 2004, diikuti kematian bapanya, Earl, pada 2006.
Selepas dikurniakan dua anak, Woods juga semakin bersifat kebapaan.
Dalam temu bual dengan majalah Jun lalu, Woods berkata: “Ada orang menganggap saya ditakdirkan sebagai pemain golf, tapi rasanya saya ditakdirkan menjadi bapa.”
Setakat ini Woods tidak bercadang muncul dalam mana-mana pertandingan dan lebih selesa menyendiri.
Nasib rumah barunya (bernilai RM187 juta) yang dijangka siap tidak lama lagi di Jupiter Island, Florida, tidak dapat dipastikan.
Pada 2006, Woods pernah berkata, dia mahu menghadapi hari tua bersama Elin di sisinya.
“Saya sukakan suasana pasangan suami isteri melalui hari tua bersama-sama. Saya seronok melihat pasangan kekal sebagai suami isteri selama 20, 30 atau 40 tahun. Itu yang saya harapkan pada kami,” katanya.
Kini, mungkin impian itu kekal tinggal impian.
>Info
TIGER WOODS:
# Menurut majalah Forbes, Woods adalah atlit pertama memiliki kekayaan bernilai berbilion dolar hasil pembabitan dalam sukan
# Sepanjang 2009, Woods memperoleh RM35.7 juta hasil kemenangannya dalam siri Jelajah PGA
# Nilai tajaan diperoleh Woods dianggarkan RM340 juta.
# Nilai kekayaan Wood dianggar lebih RM2 bilion.
>Info
RACHEL UCHITEL:
# Bekas penerbit televisyen Bloomberg
# Tunangnya, Andy O’Grady, terbunuh ketika Pusat Dagangan Dunia (WTC) dirempuh kapal terbang pada 11 September 2001
# Berkahwin hanya empat bulan dengan Steve Ehrenkranz
# Menjadi pelayan orang kenamaan / selebriti di Las Vegas sejak 2004
# Disifatkan sebagai wanita pintar dan kelakar sehingga amat mudah menawan lelaki.
>Info
JAIMME GRUBBS:
# Pernah menjalin hubungan cinta dengan pereka seluar dalam
# Mendakwa menjadi kekasih gelap Woods selama 31 bulan
# Menyimpan lebih 300 mesej pesanan ringkas (SMS) daripada Woods, termasuk berbaur lucah.
- HARIAN METRO