Rabu, Januari 27, 2010

AirAsia sasar 2j penumpang Malaysia-India

AirAsia Bhd. (AirAsia) menjangka bilangan penumpang ke India dari Malaysia meningkat tiga kali ganda kepada dua juta orang menjelang tahun 2011 berbanding 590,000 orang tahun lalu melalui pengenalan enam laluan baru hari ini.

Syarikat penerbangan tambang murah itu akan menyediakan perkhidmatan baru ke bandar metro utama di India termasuk Chennai, Bangalore, Hyderabad, Mumbai dan New Delhi dari Kuala Lumpur (KL) serta dari Pulau Pinang ke Chennai.

AirAsia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan ke Bangalore dan Hyderabad dari KL dan dari Pulau Pinang ke Chennai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan tempatan yang menghubungkan destinasi terbanyak di India dengan Malaysia melibatkan 148 penerbangan setiap minggu.

Sambil menyifatkan pelancaran itu sebagai permulaan yang baik serta mewakili kempen agresif AirAsia yang jenamanya telah dikenali di India, beliau menambah, sejumlah RM5 juta hingga RM6 juta dilaburkan untuk tujuan pengiklanan dan promosi (A&P).

"Kami telah menyaksikan faktor muatan meningkat sebanyak 80 peratus secara purata untuk empat laluan sedia ada iaitu Trichy, Kolkata, Kochi dan Trivandrum, sejak ia dilancarkan.

Perkhidmatan baru ini bukan sahaja melengkapi pertumbuhan agresif AirAsia di India, malah meningkatkan trafik ke dalam negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan penerbangan terus ke enam laluan baru di India, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Laluan ke Chennai, Bangalore, Hyderabad akan menggunakan pesawat A320 AirAsia manakala AirAsia X, syarikat penerbangan sekutu jarak jauh AirAsia akan ke Mumbai dan Delhi menggunakan pesawat baru Airbus A330.

Fernandes berkata, laluan baru ini menempatkan KL sebagai gerbang perjalanan ke rangkaian AirAsia di ASEAN dan sejajar dengan usaha kerajaan mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

"Dengan adanya perkhidmatan baru ini, kami menjangka lebih ramai pelanggan dari India dapat menikmati kemudahan menaiki pesawat tambang murah," ujarnya.

Ditanya sama ada AirAsia akan memperkenalkan destinasi baru pada tahun ini, beliau berkata ia bergantung kepada hak laluan yang diberikan oleh pihak berkuasa tertentu.

"Buat masa ini, kami akan menumpu perhatian untuk membangunkan rangkaian kami di India berikutan permintaan yang besar di negara ini," jelasnya.

AirAsia melancarkan laluan pertamanya ke Trichy, India yang terletak di India selatan pada 1 Disember 2008 dan merupakan syarikat penerbangan Asia Tenggara pertama untuk terbang ke bandar itu.

Bersempena dengan pelancaran baru itu, AirAsia menawarkan tambang murah serendah RM199 untuk tempoh penempahan mulai hari ini sehingga 31 Januari ini yang boleh dibuat melalui laman web www.airasia.com dan mobile.airasia.com

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts