Aura Malaysia di Arab Saudi


Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh, pemandu teksi bertanya, penulis dari negara mana, apabila penulis menjawab ‘Malaysia’, secara spontan pemandu tersebut berkata, ‘Malaysia bagus’.

Sebenarnya rasa hormat dan mengagumi Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam bukanlah sesuatu yang luar biasa di Arab Saudi. Sepanjang lapan hari berada di negara berkenaan bagi membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, nama Malaysia cukup terkenal. Seperti mana cerita yang selalu kita dengar, peniaga-peniaga terutamanya di Jeddah, Mekah dan Madinah sebahagian besarnya boleh menyebut perkataan dalam bahasa Melayu.

Tidak kira apa pun tujuan mereka, tetapi apa yang pasti aura bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang cukup dihormati sememangnya terserlah. Apa yang membanggakan kerajaan Arab Saudi sendiri melihat Malaysia adalah rakan rapat dan mahu mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Ketika di negara sendiri, kemampuan kerajaan mengembangkan syiar Islam dan berjaya membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati dunia sering sahaja dipertikaikan oleh sesetengah pihak atas tujuan politik. Namun, di negara luar termasuk Arab Saudi, rasa hormat mereka kepada Malaysia di bawah kepimpinan Najib cukup tinggi.

Ini jelas apabila Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud bukan sahaja menganugerahkan kepada Najib, Anugerah Raja Abdulaziz Kelas Pertama, malah menyatakan hasrat baginda untuk melihat Arab Saudi dan Malaysia bekerjasama dengan lebih erat dalam pelbagai bidang.

Berikutan itulah, Perdana Menteri sendiri menyifatkan anugerah itu satu manifestasi hubungan yang sangat akrab antara kedua-dua negara. Apa yang menarik, perbincangan antara Najib dan Raja Abdullah adalah jelas iaitu Arab Saudi mahu hubungan antara kedua-dua negara bukan sahaja merangkumi bidang ekonomi, malah juga dalam bidang-bidang lain.

Kerjasama antara kedua-dua negara Islam itu amat penting bagi memastikan satu hubungan erat dapat diwujudkan bukan sahaja demi kepentingan umat Islam di Arab Saudi dan Malaysia tetapi juga sejagat.

Hakikatnya, dalam keadaan umat Islam menghadapi pelbagai cabaran termasuklah pandangan negatif terhadap mereka, kewujudan hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi amat penting. Melalui kerjasama yang diwujudkan, kedua-dua negara boleh bertukar-tukar fikiran dan mekanisme bagaimana imej umat Islam dapat ‘dipulihkan’.

Inilah ditegaskan oleh Najib ketika majlis makan malam bersama Majlis Perniagaan Malaysia di sebuah hotel di Jeddah. Bagi Perdana Menteri, beliau ingin memastikan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana umat Islam di seluruh dunia memerlukan kerjasama seumpama itu bagi membela nasib mereka.

Isu imej Islam yang sering dipandang negatif dan ditambah pula dengan tindakan memutar belit fakta bagi memburukkan agama Islam perlu ditangani segera. Begitu juga dengan pelbagai konflik yang berlaku di negara-negara Islam, semua itu memerlukan perhatian.

Atas semangat ini jugalah dalam pertemuan Najib dengan Raja Abdullah seperti mana dilaporkan oleh media-media di Arab Saudi, selain isu Afghanistan, turut disentuh adalah isu Palestin dan Iran. Kedua-dua negara mahu melihat semua masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

Dalam soal ini, Malaysia sememangnya dilihat sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa berusaha membantu menyelesaikan konflik di negara-negara Islam yang lain. Begitu juga dalam usaha memerangi keganasan, di mana Malaysia dilihat bukan sahaja komited malah tegas dalam pendirian menentang sebarang bentuk tindakan ganas tidak kira sama ada ia dilakukan oleh puak Islam mahupun bukan Islam.

Selain itu, Malaysia juga ingin melihat hubungan antara Islam dengan agama-agama lain sentiasa baik dan ia hanya boleh dilakukan jika mereka (agama lain) memahami Islam. Berdasarkan kepada semangat itulah Perdana Menteri menyatakan kepada Raja Abdullah bahawa Malaysia berminat untuk menyertai usaha baginda berhubung dialog antara pelbagai agama.

‘‘Saya sudah menyatakan bahawa dalam program seperti itu, Malaysia berminat untuk menyertainya dalam usaha ke arah memupuk kefahaman yang lebih mendalam tentang Islam dalam konteks hubungan dengan pelbagai agama lain,” kata Najib.

Apa yang menarik, selain mempunyai kerjasama erat dalam menangani isu-isu antarabangsa, imej Malaysia juga semakin terserlah di Arab Saudi dalam bidang ekonomi berikutan kejayaan syarikat-syarikat Malaysia melakukan pelaburan di negara berkenaan.

Sikap kerajaan Arab Saudi yang sentiasa bersedia memberi peluang ekonomi dan perniagaan kepada syarikat-syarikat Malaysia telah memungkinkan Malaysia kini menjadi salah satu pelabur utama di negara berkenaan.

Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan kerajaan yang menggalakkan syarikat Malaysia melabur di Arab Saudi dan kemampuan syarikat yang terlibat menunjukkan prestasi membanggakan apabila diberi peluang melaksanakan projek-projek di negara teluk itu.

Dua projek mega yang membuktikan kemampuan syarikat Malaysia adalah pembangunan Bandar Ekonomi Jizan berjumlah RM30 bilion dan di Shuhaiba, apabila Tenaga Nasional, Malakoff dan Khazanah Nasional terlibat dalam satu projek tenaga dan penapisan air laut.

Jelas hubungan Malaysia dengan Arab Saudi mencipta sejarah baru dan bertambah erat atas dorongan Najib. Lawatan rasmi ini cukup berjaya jika dilihat pada majlis sambutan yang begitu ketara oleh kerajaan Arab Saudi terhadap kehadiran Perdana Menteri dan isteri.

Malaysia patut berbangga apabila Perdana Menteri mendapat liputan meluas oleh media tempatan. Malah Datin Seri Rosmah Mansor yang mengunjungi Al Faisal University Riyadh dan King Faisal Foundation terpapar di muka depan surat khabar Arab Saudi.

Kesimpulannya, lawatan rasmi Perdana Menteri telah mengeratkan lagi hubungan antara negara yang sememangnya sentiasa bekerjasama rapat dalam semua bidang dan sekali gus meningkatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url