Top Ad 728x90

Graduan pertanian jadi PRO


Tugas sebagai seorang pegawai perhubungan awam (PRO) menuntut seseorang bijak dalam menangani pelbagai isu yang berkaitan dengan syarikat atau organisasi tempat kerja yang diwakilinya.

Malah, kemahiran komunikasi dan mengendalikan acara-acara tertentu antara kebolehan asas yang perlu ada pada seorang PRO.

Bagi Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Abdullah Arshad, 35, walaupun dia merupakan lulusan bidang pertanian daripada universiti yang sama, namun ia tidak menghalangnya untuk membina kerjaya dalam bidang itu.

Mengakui menghadapi sedikit kesukaran pada awal tugasnya tiga tahun lepas namun, tidak kisah belajar daripada bawah dan sabar berdepan dengan cabaran membuatkan dia semakin selesa bergelar sebagai PRO. GenK menemubual Abdullah untuk menyelami pengalamannya untuk panduan remaja yang ingin terjun dalam bidang itu.

GenK: Bagaimana anda memulakan kerjaya sebagai PRO?

Saya merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pertanian dari UPM. Saya telah berkhidmat dengan UPM selama 10 tahun dalam bidang pengurusan akademik, promosi dan pengurusan acara. Saya dipindahkan ke bahagian komunikasi tidak sampai tiga tahun.

Apakah skop kerja anda?

Saya menguruskan Bahagian Komunikasi Korporat UPM. Selain itu, saya melakukan kerja-kerja perhubungan antarabangsa, pengurusan majlis, pengurusan media dan publisiti, promosi, pemasaran serta penerbitan korporat. Saya juga perlu menyediakan ucapan-ucapan tertentu.

Apakah cabaran yang anda hadapi?

Bukan mudah untuk kita menyampaikan maklumat kepada pelanggan di dalam dan luar kampus bagi menyampaikan visi serta misi UPM. Walaupun waktu bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang tapi ia bukan lagi rutin untuk saya. Saya adakalanya masuk ke pejabat seawal pukul 6 pagi.

Jika timbul kontroversi yang tidak melibatkan perlembagaan, saya bertanggungjawab untuk menjelaskannya. Jika ia serius, saya akan mengeluarkan kenyataan tetapi perlu disahkan oleh Naib Canselor sebelum diedarkan kepada media. Setiap isu perlu diberi maklum balas dalam tempoh 24 jam.

Memandangkan anda tidak mempunyai latar belakang pendidikan dalam komunikasi, bagaimana anda membina keyakinan sebagai seorang PRO?

Untuk menjadi PRO, saya perlu ada pengetahuan mengenainya. Oleh itu saya mengambil beberapa kursus pendek seperti kursus penampilan, perhubungan media, komunikasi dan sebagainya.

Apakah ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang untuk menjadi PRO?

Seseorang itu harus mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dan tahu menulis. Itu adalah antara yang paling penting.

Penampilan yang kemas juga perlu bagi memastikan nama baik organisasi yang diwakili tidak tercemar.

Selain itu, seorang PRO perlu ada pengetahuan mengenai fungsi organisasi yang diwakili supaya mudah untuk menjawab segala kemusykilan. Mereka juga harus tahu etika sosial dalam konteks profesional.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90