Top Ad 728x90

,

JPJ Personafikasi Nombor Plat Kenderaan


Selepas nombor plat kenderaan siri khas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mengambil langkah lebih kreatif mempersonifikasikan nombor plat kenderaan mengikut kehendak dan pilihan pemilik kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya menyasarkan syarikat dan individu yang menyukai nombor plat yang istimewa berdasarkan nama organisasi, individu serta tempat asal masing-masing.

Katanya, antaranya termasuk STAR, TMNET, CEMPAKA (nama organisasi), JELEBU (nama tempat) dan AUDREY (nama individu).

"Ini memberikan lebih banyak pilihan kepada orang ramai. Pada masa yang sama, ia dapat menjanakan lebih banyak pendapatan kepada kerajaan," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Nombor plat khas termasuk Putrajaya, Proton, Putra, WAJA, Persona, Tiara, Perdana, Satria, Chancellor, Perodua, NAZA, LOTUS, KRISS, Jaguh, BAMBee, SUKOM, X OIC, XIII NAM, XI ASEAN dan XXX IDB.

Mengulas lanjut, Solah menegaskan, nombor plat yang menyentuh sensitiviti kaum, berbentuk hasutan, menyemai kebencian serta merosakkan moral tidak dibenarkan sama sekali.

Katanya, ramai yang berminat untuk mendapatkan nombor personifikasi tetapi tawaran itu belum dibuka kepada orang ramai.

Solah memberitahu, konsep personifikasi nombor plat kenderaan ini turut membenarkan pihak terbabit membida untuk suatu siri nombor itu.

"Mereka boleh membida untuk siri STAR, katakan 1 hingga 50," jelasnya sambil menambah nombor personifikasi turut mempunyai spesifikasi standard sama seperti nombor plat biasa dan khas yang perlu diikuti.

Dalam perkembangan sama, Solah berkata, JPJ sedang dalam proses menyeragamkan nombor plat kenderaan di negara ini melalui pengenalan e-plate kelak.

E-plate ialah nombor pendaftaran pintar yang akan diperkenalkan kelak sebagai usaha mengatasi peningkatan masalah pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan di negara ini.

Malah, e-plate akan didaftarkan sebagai barang kawalan dan dilengkapi teknologi mikrocip atau Radio Frequency Identification (RFID).

Menurut Solah, JPJ sedang dalam peringkat mendapatkan kelulusan agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan untuk melaksanakan e-plate kerana ia melibatkan orang ramai dan pengenaan caj.

Katanya, penggunaan nombor plat yang standard ialah salah satu cara untuk mencapai usaha bagi mengurangkan kadar jenayah seperti termaktub dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Apabila ada nombor plat yang sukar ditukargantikan, kita akan dapat menjejaki penjenayah dengan lebih mudah," katanya.

Solah memberikan bayangan e-plate itu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi serta sukar diciplak.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90