Selamat tinggal 2009, Selamat datang 2010

Minggu terakhir 2009 menyaksikan banyak air mata yang tumpah. Kemalangan jalan raya yang bertimpa-timpa menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Paling menyayat hati tragedi bas Sani Express yang pemandunya mengaku terlelap lalu hilang kawalan serta melanggar pembahagi jalan di Kilometer 280.3, Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada pukul 1.23 pagi 26 Disember lalu. Kejadian itu mengorbankan 10 penumpang yang duduk di bahagian bawah bas dua tingkat itu.

Tragedi ini tentunya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa dan trauma yang berterusan kepada mereka yang terselamat. Saat ini keluarga mangsa masih bersedih dan tragedi ini akan tercatat sebagai memori pahit dalam menutup tirai kehidupan 2009. Begitulah perjalanan hidup manusia!

Dalam duka pasti ada juga yang bergembira. Semua itu adalah ketentuan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Mendengar.

Tirai 2010 kini bermula, tentunya bakal membawa cahaya baru dalam kehidupan kita semua. Lupakan yang telah berlalu, anggap ia sebagai satu kenangan sambil berdoa mudah-mudahan tahun ini akan membawa kebahagiaan dan ketenangan dalam apa juga yang diceburi.

Ramai yang menunggu kehadiran 2010. Ada yang sudah punya perancangan eksklusif, tidak kira dalam rumah tangga, dunia percintaan, kerjaya atau masa depan.

Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muzaphar Shukor, 37, dan tunangnya Dr. Harlina Mohd. Yunus membuka tirai 2010 dengan khabar gembira apabila mereka melangsungkan pertunangan pada 1 Januari lalu di Allyson Klana, Nilai, Negeri Sembilan.

Kedatangan 2010 perlu dilalui dengan kekuatan dan ketabahan terutama dalam melakukan sesuatu yang memerlukan komitmen dan kerja keras.

Fitrah manusia ciptaan Allah SWT menjadikan seseorang itu insan yang sempurna di sisi Allah. Adalah lumrah, dalam suka ada duka, dalam ketawa ada air mata.

Namun itu semua mempunyai hikmah yang tersimpan. Pun begitu, elok direnung kembali bagaimana kehidupan kita sepanjang tahun lalu.

Cukupkah sudah bakti kepada masyarakat, sarat manakah kasih sayang dan tanggungjawab yang dilimpahkan kepada keluarga atau orang tersayang khasnya ibu bapa?

Di tempat kerja pula bagaimana? Mampukah anda menjadi seorang pekerja yang baik dan kreatif? Sudahkah tanggungjawab anda sebagai ketua dipenuhi dengan sempurna?

Soalan-soalan ini mungkin ada yang boleh anda jawab dan mungkin juga terpaksa dibiarkan tanpa jawapan.

Nak bercakap tentang azam? Elok dilupakan sahaja kerana jika disebut tetapi tidak dipraktikkan juga tidak akan sampai ke mana. Lagipun pada saya menanam azam setiap awal tahun adalah cerita lama dan tidak relevan lagi dengan masa kini.

Sudahnya kita berada di takuk lama, meneruskan legasi yang sama seperti apa yang dilakukan sebelum ini setiap hari.

Seperti yang saya kata, tahun datang dan pergi. Begitu juga masa, berlalu tanpa kita sedari. Namun yang pasti ada kala manusia tidak ke mana-mana, mereka masih berada di tempat yang sama jika tidak bertindak untuk berubah ke arah positif mengikut keadaan.

Positif yang dimaksudkan adalah jati diri, nilai murni dan komitmen terhadap apa yang dilakukan perlu ditingkatkan dalam usaha menggapai impian untuk berjaya dalam hidup.

Sikap memainkan peranan dalam semua perkara yang kita lakukan, di tempat kerja, di rumah dan di dalam masyarakat. Ia ibarat pelengkap kepada jiwa seseorang.

Tidak usah bercerita tentang projek berjuta-juta ringgit. Jangan bermegah dengan kejayaan merangkul anugerah yang pelbagai, rumah mewah dan kereta besar tetapi jiwa kosong tanpa jati diri, nilai murni dan komitmen.

Mungkin tahun lalu kita terlepas pandang kepada beberapa perkara berkaitan hidup tetapi kita masih mampu mengubahnya pada tahun ini.

Selain menumpu perhatian terhadap kerjaya dan perniagaan, tanggungjawab terhadap ibu bapa, rumah tangga dan anak-anak juga perlu ditingkatkan. Bak kata orang jika cemerlang di luar, cemerlang juga hendaknya di dalam rumah.

Jika hendak meraih kejayaan di mata orang, elok perbetulkan dulu kekurangan di mata kita.... barulah nampak kecemerlangan sebenarnya.

Namun transformasi itu jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam tetapi biar seperti menggenggam bara api, biarlah sampai jadi arang.

Mengingatkan diri saya dan anda juga saya akhiri catatan kali ini dengan harapan kita semua akan bersikap positif dalam menempuh tahun 2010 bersama komitmen untuk menjadi insan yang berhemah, bekerja keras untuk menikmati hidup di dunia dan akhirat.

Buat mereka yang kehilangan orang tersayang, salam takziah, semoga roh mereka ditempatkan bersama orang yang soleh di alam barzah. Amin!

Menutup kata, sepatah kata buat renungan bersama: Sesungguhnya nikmat besar yang harus dijaga adalah ketika kebaikan itu memenuhi jiwa dan membahagiakan hati.

Salam 2010.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url