‘Kami mahu digeruni pesaing”

Celcom Axiata (sebelum ini Celcom) kini mengalami kebangkitan semula untuk menguasai tempat pertama dalam pasaran telekomunikasi tempatan selepas lama ketinggalan.
Pelan transformasi (2009-2012) yang dirangka dan kini dilaksanakan, membolehkan syarikat itu bergerak di atas landasan yang betul sehingga mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.
‘‘Kami lebih fokus dan sentiasa melihat prestasi dan kedudukan kami dari semasa ke semasa untuk lebih maju,’’ kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly.
Menurut Shazalli, rahsia kejayaan Celcom Axiata adalah sikap amat prihatin terhadap kehendak dan kepentingan para pelanggan.
‘‘Kami juga peka dan mengambil berat segala pandangan, permintaan dan aduan yang diterima daripada setiap pelanggan,
‘‘Celcom Axiata kini berusaha untuk berada dalam posisi nombor satu daripada segala segi,’’ kata Shazalli dalam wawancara bertulis dengan Utusan Malaysia di sini.
Dalam wawancara itu, beliau membicarakan tentang pencapaian dan harapannya terhadap Celcom Axiata terutamanya selepas pasca kemelesetan ekonomi yang melanda Malaysia dan dunia.
Celcom Axiata mencatatkan prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini selepas melaksanakan pelan transformasi sejak tiga tahun lalu. Apa yang Datuk Seri lakukan untuk mengekalkan prestasi semasa?
Shazalli: Kami sentiasa melihat secara mendalam kehendak pelanggan dengan disokong oleh pembangunan teknologi. Sebagai syarikat yang menjanjikan produk dan perkhidmatan terbaik, kami sentiasa berusaha untuk memahami gaya hidup pelanggan kami. Celcom Axiata juga mempunyai strategi pemasaran sangat agresif dan kreatif kerana kita sentiasa memperkenalkan dan menawarkan pelbagai produk terbaru dari semasa ke semasa. Setiap produk yang ditawarkan pula perlu memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan dari semua peringkat umur dan lapisan masyarakat.
Contohnya, pakej dan tawaran istimewa BlackBerry diperkenalkan kepada para pengguna Celcom dan Xpax. Untuk kalangan remaja, Xpax telah memperkenalkan BlackBerry Curve 8520 pada harga berpatutan, iaitu RM998. Pelanggan prabayar boleh mengakses Internet dengan harga bermula serendah RM1 setiap hari. Celcom Axiata juga memperkenalkan servis Facebook dan Twitter melalui SMS, dengan yuran langganan hanya RM1 setiap minggu tanpa had.
Kami juga amat prihatin terhadap kehendak dan kepentingan para pelanggan. Kami peka dan mengambil berat segala pandangan, permintaan dan aduan yang diterima daripada setiap pelanggan. Selain itu, Celcom Axiata sentiasa membuat jangkaan tabiat dan tingkahlaku pelanggan terlebih dahulu. Faktor-faktor ini penting untuk kami menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Kenapa Celcom Axiata kelihatan lebih menyerlah ketika berada di bawah Kumpulan Axiata dan berbeza sekali berbanding di bawah Telekom Malaysia pada satu masa dahulu?
Di bawah Axiata, kami dilihat dapat berkongsi kepakaran, infrastruktur dan pelbagai idea dengan semua anak syarikat yang di bawah kumpulan Axiata. Sebagai contoh, Celcom Axiata bekerjasama bersama Excelcomindo (XL) untuk melancarkan pek prabayar Sukses di Malaysia, yang menawarkan harga IDD yang sangat berpatutan. Kami juga bekerjasama dengan anak syarikat yang berada di bawah kumpulan Axiata lain untuk kadar panggilan yang rata bagi perayauan antarabangsa.
Apakah unjuran prestasi syarikat untuk tahun ini?
Kami akan memperkukuhkan kedudukan dalam penguasaan pasaran dengan mempertingkatkan kepakaran dan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam semua kategori. Kami juga akan melanjutkan usaha dalam bidang yang berpotensi lain seperti pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) dan kerjasama dalam perayauan domestik. Selain itu, pengalaman dan kepakaran dalam pasaran baru seperti perbankan dan pengiklanan mudah alih, akan diperluaskan.
Bilakah Datuk Seri sasarkan untuk mampu mengembalikan Celcom Axiata ke posisi nombor satu di Malaysia?
Sasaran ini adalah subjektif kerana matlamat utama kami adalah mengukuhkan dan mengekalkan kedudukan pertama dalam kawasan dan bidang yang kami terajui. Contohnya Celcom Axiata berada di hadapam di kawasan Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kami juga pilihan pertama di Sabah dan Sarawak. Kami akan berusaha beransur-ansur untuk menjadi syarikat telekomunikasi nombor satu terutama dalam bidang suara di seluruh negara. Celcom Axiata juga nombor satu dalam bidang jalur lebar mudah alih. Selain itu kami akan berusaha untuk menjadi nombor satu di beberapa segmen lain yang telah dikenalpasti dan berpotensi untuk dipelopori.
- UTUSAN

