Artis popular hangatkan Anugerah Grammy
LOS ANGELES 2 Feb.2010 - Bintang-bintang terkenal seperti Beyonce, Taylor Swift dan Lady Gaga berjaya menarik seramai 25.8 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) untuk menonton siaran Anugerah Grammy - jumlah penonton televisyen tertinggi anugerah itu dalam tempoh enam tahun, demikian menurut penilaian awal televisyen semalam.
Rancangan anugerah muzik selama tiga setengah jam di saluran CBS dua hari lalu mengalami peningkatan 35 peratus pada tahun lalu dan merupakan siaran Grammy paling mendapat sambutan sejak 2004, menurut anggaran awal Nielsen.
Tahun lalu, seramai 19.05 juta rakyat AS menonton persembahan dan rancangan anugerah yang disiarkan dari Los Angeles itu.
Beyonce membawa pulang enam anugerah Grammy manakala penyanyi country berusia 20 tahun, Taylor Swift - yang mana albumnya, 'Fearless' merupakan album paling laris 2009 - memenangi empat anugerah selain menjadi artis termuda yang memenangi anugerah Grammy bagi album terbaik.
Dalam majlis anugerah yang banyak menyaksikan persembahan berbanding penyampaian anugerah itu, pendatang baru yang pelik, Lady Gaga bergandingan dengan penyanyi pop veteran, Elton John, manakala anak-anak Michael Jackson, Prince Michael, 12, dan Paris, 11, membuat kemunculan luar biasa dengan menerima anugerah pencapaian sepanjang zaman mewakili penyanyi 'Thriller' yang meninggal dunia pada Jun lalu.
Rekod penilaian televisyen itu mengundang keceriaan kepada industri rakaman yang berusaha mengekalkan jualan tradisi dalam era undang-undang muat turun secara sah atau haram, tarikan permainan video serta laman web rangkaian sosial.
Jon Pareles dari akhbar The New York Times berkata, rancangan Grammy 'bertuah' tahun ini dengan rangkaian pencalonan utama 'yang menggegarkan industri muzik tahun lalu'.
"Anugerah Grammy telah menemui keseimbangan persembahan dan anugerah, yang mana, penyampaian anugerah hanyalah sekadar acara sampingan.
"Syarikat rakaman yang terdesak untuk jualan mahu mendedahkan sebanyak mana produk yang termampu dan kebanyakan penghibur telah diperkenalkan bersama judul lagu mereka sekiranya peminat mahu memuat turun lagu-lagu tersebut dengan segera," kata Pareles lagi.
- REUTERS