Hukuman sebat dalam akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah

SELANGOR

Doktrin palsu (ajaran sesat), mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan diri atau isteri muncikari (bapa ayam), zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan tabii.


WILAYAH PERSEKUTUAN

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, doktrin palsu, liwat, musahaqah (lesbian).


KELANTAN

Zina, mukadimah zina, liwat, meminum minuman memabukkan.


PERLIS

Meminum minuman yang memabukkan.


PAHANG

Meminum minuman memabukkan, zina, sumbang mahram, zina dengan orang bukan Islam, ajaran salah, suami memaksa, menyokong atau membenarkan isteri melacurkan diri, membuat kenyataan keluar daripada Islam dengan apa-apa tujuan, dakyah atau mengajar agama lain kepada orang Islam.


MELAKA

Perhubungan jenis luar tabii.


SABAH

Zina, melakukan pemujaan, menghina agama Islam, mempermainkan al-Quran dan hadis, ajaran sesat, percubaan murtad, memungkiri pertunangan, mengambil minuman memabukkan.


JOHOR

Doktrin palsu, melakukan perbuatan bertentangan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, liwat, musahaqah.


SARAWAK

Melacur, bapa ayam, zina, lesbian, liwat.


TERENGGANU

Doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan isteri atau kanak-kanak dalam pemeliharaan, melacurkan isteri atau anak, muncikari, musahaqah.


NEGERI SEMBILAN


Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.


PERAK

Kesalahan perhubungan muabbad (sumbang mahram), Kesalahan perhubungan ghairu muabbad (golongan haram nikah sementara), melacurkan isteri, zina.


PULAU PINANG

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, liwat, musahaqah, doktrin palsu.


Negeri ada hukuman sebat tetapi tidak kuat kuasa

Semua negeri mempunyai peruntukan hukuman sebat mengikut akta, enakmen dan Ordinan Jenayah Syariah tetapi hanya Kelantan pernah melaksanakan hukuman itu terhadap 10 pesalah sejak Undang-Undang Kaedah Hukuman Sebat Kelantan dikuatkuasakan pada 1987.

Pesalah yang disabitkan di negeri lain hanya dijatuhkan hukuman penjara dan denda walaupun kesalahan mempunyai peruntukan hukuman sebat.

Di KOTA BHARU; Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad, berkata hukuman sebat dilaksanakan pegawai khas yang dilantik Mahkamah Syariah selepas prosiding peringkat Mahkamah Rayuan Syariah berakhir jika pesalah merayu terhadap hukuman.

“Hukuman sebat pertama dilaksanakan pada 7 Januari 1987 membabitkan kesalahan mukadimah zina terhadap seorang lelaki. Cuma ketika itu, hukuman sebat tidak digembar-gemburkan.

"Hukuman berjalan hingga kini dan kali terakhir pada 2004 terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun selepas didapati bersalah minum arak. Hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah di negeri ini dijalankan di Penjara Pengkalan Chepa," katanya.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Johor, Mohd Nooh Kadri, berkata Johor mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman sebat tetapi belum ada pesalah pernah menjalani hukuman itu.

Katanya, enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan sehingga enam sebatan untuk kesalahan menyampaikan doktrin palsu, melakukan perbuatan berlawanan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah (lesbian).

Beliau berkata, Mahkamah Syariah Johor pernah menjatuhkan hukuman sebatan kepada pesalah jenayah syariah pada akhir 1990-an tetapi tidak dilaksanakan selepas pesalah terbabit membuat rayuan.

Di KANGAR, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) mempunyai undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebat terhadap pesalah minum arak dan benda memabukkan mengikut Seksyen 24(1) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.

Pengarah Jaips, Malik Hussin, berkata setakat ini belum ada pesalah kes itu dikenakan hukuman berkenaan.

Di ALOR SETAR, jurucakap Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), berkata pihaknya belum memperuntukkan hukuman sebat kerana hukuman yang dikenakan hanya membabitkan denda dan penjara.

Di MELAKA, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan setakat ini belum ada rakyat di negeri itu menjalani hukuman disebat mengikut undang-undang syariah.

"Bagaimanapun jika Mahkamah Syariah Melaka hendak melaksanakannya, saya tidak ada halangan dan tambahan pula sebatan banyak dilakukan pelbagai pihak.

"Kadang-kadang di sekolah kalau nakal pun kena sebat, inikan pula orang Islam yang sudah melanggar hukum syariah,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Zakaria Semela, berkata hukuman sebat diperuntukkan dalam dua enakmen berkaitan jenayah syariah di Sabah.

Katanya, dua enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sabah 2004.

"Bagaimanapun, kes pendakwaan yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mengikut enakmen itu belum pernah merangkumi sebatan, sebaliknya hanya denda dan penjara," katanya.


- BERITA HARIAN

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.