Rangka remaja zaman Mesolitik ditemui


KUALA BERANG: Rangka dipercayai remaja daripada zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir hasil kerja cari gali yang dijalankan sekumpulan ahli arkeologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu sejak tiga bulan lalu.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata rangka manusia zaman Mesolitik itu dianggar berusia antara 8,000 hingga 11,000 tahun.

"Rangka itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (cm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita sudah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis. Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya selepas mengiringi Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan media melawat ke gua berkenaan di sini, semalam.

Nik Hasan Shuhaimi berkata penemuan rangka manusia prasejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyir pada 1975.

Beliau yang mengetuai kerja cari gali bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusof Abdullah dan 33 anggota cari gali lain berkata ia adalah penemuan penting sejarah tamadun manusia di Malaysia.

Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah, katanya.

"Ada serpihan yang tertulis corak seakan-akan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik lain di seluruh Malaysia," katanya.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url