Memupuk integriti tidak boleh sebelah pihak sahaja
Rakyat Malaysia kena akui hakikat, kita masih belum sedar apa itu integriti.
Integriti menjurus kepada maksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Ia juga boleh merujuk kepada kualiti untuk menjadi seorang yang jujur.
Dalam beberapa hari lalu malah sudah beribu-ribu kali sebelum ini pemimpin negara bercakap mengenai integriti.
Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, integriti bermaksud seseorang yang boleh dipercayai, amanah, menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa, komited menjalankan tugas dan berpegang pada janji.
Untuk lebih mudah difahami, Najib beri contoh jika seorang pegawai kerajaan, dia perlu menjalankan amanah seperti yang ditetap dan dijanjikan serta mesti boleh dipercayai. Selain itu mereka harus melaksanakan kerja yang mempunyai kualiti sangat tinggi.
Dalam konteks Pelan Transformasi Kerajaan, integriti perlu dihayati dan difahami oleh semua peringkat penjawat awam.
Tetapi memupuk integriti ini tidak boleh hanya sebelah pihak sahaja. Perkara ini mesti dilaksanakan oleh pihak yang lagi satu - tidak kira sama ada orang awam atau pihak swasta.
Jika tidak, untuk menyedarkan masyarakat kita tentang pentingnya integriti hanya tinggal cakap-cakap kosong sahaja.
Kalau masyarakat tidak menjaga integriti, kita bimbang struktur negara ini akan dipengaruhi oleh unsur-unsur rasuah, pecah amanah, infrastruktur yang retak dan mudah runtuh serta bertambahnya bilangan jenayah.
Semua perkara ini memberi kesan kepada imej negara. Pelabur asing pun takut untuk melabur di negara ini jika tahap integriti Malaysia diragui. Akhirnya ia menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara dan rancangan kerajaan untuk membangunkan negara terganggu.
Langkah memulihkan keyakinan pelabur ialah meningkatkan integriti negara.
Cadangan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu semua syarikat yang ingin membida tender Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) diwajib menandatangani Perjanjian Integriti adalah satu peraturan yang baik.
Sejak timbul skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) lebih dua tahun lalu, keyakinan pelabur terhadap PKA mungkin telah terjejas.
Jadi usaha memulihkan keyakinan pelabur terhadap badan itu melalui sebuah perjanjian integriti wajar dialu-alukan.
Kita berharap peraturan itu dapat mengelak wujud unsur-unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan setiap projek yang membabitkan kepentingan rakyat.
Kepada agensi kerajaan yang lain, pertimbangkanlah amalan peraturan seumpama itu. Perkara yang baik patut diterapkan dalam perkhidmatan agar kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada agensi-agensi kerajaan meningkat.
Apa pun, soal integriti melibatkan ketahanan dalaman diri individu. Kita sendiri dapat melihat sesetengah rakyat negara ini belum kukuh tahap integritinya.
Oleh itu, kita menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi sistem nilai dalam diri supaya rakyat akan menolak sebarang amalan yang tidak sihat dan bertentangan dengan konsep integriti.
- UTUSAN