Musim syarikat cari pekerja

Kelly Services (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kelly Services), syarikat penyelesaian pekerja menegaskan pasaran kerja tempatan semakin berkembang pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Melissa Norman berkata, pada kebiasaannya pasaran kerja akan mengalami sedikit kelembapan pada awal tahun ekoran musim perayaan manakala pekerja pula menanti untuk mendapatkan bonus.

''Bagi syarikat-syarikat pula, musim untuk mendapatkan pekerja baru adalah pada bulan Februari dan Mac selepas bajet diputuskan. Pada waktu ini syarikat juga lebih cerewet untuk mendapatkan pekerja yang terbaik.

''Walaupun berlaku pengambilan pekerja yang perlahan pada tahun lepas tetapi permintaan terhadap pekerja dengan kemahiran tertentu masih tinggi seperti jualan, pemasaran, kewangan, perakaunan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Melissa, daripada segi industri seperti perbankan Islam, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, pusat panggilan, sains kehidupan, bioteknologi adalah contoh yang diperlukan dalam pasaran kerja tempatan.

''Satu aspek yang tidak berubah ialah pekerja yang mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris mendapat permintaan yang tinggi.

''Setakat ini, pekerja di Malaysia masih menghadapi masalah menguasai bahasa tersebut. Saya percaya di peringkat universiti atau politeknik terdapat usaha untuk melengkapkan pelajar-pelajar mereka dengan kemahiran tersebut,'' jelasnya.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk meningkatkan kemahiran untuk diterima bekerja pada tahun lalu yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi.

''Dana tersebut telah disalurkan kepada siswazah dan mereka yang akan keluar universiti dan memasuki pasaran kerja. Daripada segi kurikulum pendidikan ia telah menampakkan perubahan dengan asas praktikal diberikan penekanan,'' katanya.

Pada tahun lalu juga, kebanyakan pekerja telah melalui proses latihan dan pembangunan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Ketika ditanya mengenai kenaikan gaji pada tahun ini, Melissa berkata, kenaikan gaji masih lagi diberikan tetapi dalam jumlah yang kecil.

''Sejak lima tahun kebelakangan ini, peningkatan gaji pekerja adalah lebih ketat dengan tumpuan diberikan kepada prestasi kerja mereka berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI),'' katanya.

Tambah beliau, dengan pasaran kerja yang semakin kompetitif, pekerja perlu lebih realistik dalam jangkaan mereka dan mereka perlu menjadi lebih fleksibel dan tidak terlampau memilih pekerjaan.

''Sebagai contoh mereka boleh memulakan kerjaya dengan melakukan kerja-kerja sementara atau kerja-kerja berasaskan kontrak bagi menambah pengalaman.

''Mereka juga disarankan mudah untuk bergerak, bermakna mudah ditempatkan di lokasi-lokasi yang memerlukan perkhidmatan mereka,'' katanya.

Selain itu, sikap pekerja baru juga perlu tepat dan mempunyai kemahiran yang bersesuaian serta selalu ingin selalu meningkatkan kemahiran dan kemampuan masing-masing.

Bagi Kelly Services, syarikat akan sentiasa membantu para siswazah memasuki pasaran kerja dan pilihan sentiasa terbuka dengan skil yang diperlukan pasaran semasa.

Kata Melissa, apa yang penting bagi syarikat ialah menyediakan pekerja dan pelanggan dengan pekerja terbaik menerusi pengalaman luas.

''Kami juga menyediakan pekerjaan kepada semua bidang termasuk pekerjaan sementara, kontrak dan tetap dan kami mempunyai kemampuan untuk menyokong pelanggan Kelly Services,'' jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url