Tanah liat melicinkan kulit
Fakta yang mencatatkan bahawa tanah liat merupakan antara sumber semula jadi yang baik dalam penghasilan produk penjagaan wajah bukan lagi perkara baru.
Kandungan kelembapan yang tinggi dan fungsinya sebagai pembasmi kuman (antiseptik) yang terbaik menjadikan tanah liat menjadi satu produk yang mempunyai nilai tambah.
Memanfaatkan kelebihan sumber semula jadi itu, One C Resources, syarikat pengeluar produk kecantikan tempatan, menampilkan One Clay (1C).
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi One C Resources, Rozita Shamsuddin, 39, berkata, 1C adalah sejenis sabun tanah liat semula jadi yang membantu membersih, mengimbangkan kulit yang tak sekata, menghalus dan melembutkan kulit.
Produk tersebut turut membantu mengekalkan kelembapan kulit sepanjang hari agar kelihatan lebih segar, berseri dan bermaya.
''Ia sesuai untuk wanita dan lelaki malah ia bukan sahaja disasarkan untuk golongan remaja dan orang dewasa malah produk 1C ini juga boleh dan sesuai untuk digunakan pada bayi dan kanak-kanak.
''Penghasilan 1C bukan sahaja bertujuan untuk kecantikan malah ia merupakan satu produk serbaguna.
''Ini kerana kandungan zat galian seperti magnesium, sodium, kalsium dan potasium dapat mengurangkan jerawat, bintik hitam serta penyakit kulit,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah membancuh sabun tersebut dengan campuran yogurt, susu atau buah-buahan, kemudian sapu pada permukaan wajah, tangan atau badan dan biarkan kering seketika sebelum dicuci dengan air.
Bagi mereka yang mengamalkannya secara berterusan ton warna kulit, tangan atau badan akan berubah dalam masa tiga minggu.
Jelas Rozita lagi, selain terdiri daripada bahan asas seperti tanah liat, ia turut mengandungi bahan-bahan semula jadi lain seperti avokado dan pokok teh.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama lima tahun di Institut Piawaian Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) sebagai Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi memberitahu, pihaknya telah menjalankan penyelidikan selama setahun sebelum 1C dihasilkan dan diedarkan di pasaran.
''Walaupun kini produk 1C telah berada di pasaran, kami masih lagi meneruskan penyelidikan untuk mengembangkan lagi fungsinya.
''Selepas ini kami dalam perancangan untuk menjadikan produk 1C ini satu produk untuk rambut dan juga produk untuk menguruskan badan," katanya.
Pada masa yang sama, Rozita turut menegaskan bahawa produk 1C bukanlah satu agen pemutihan sebaliknya ia adalah agen semula jadi yang mampu membersihkan pori-pori muka.
Sesiapa berminat mengetahui lebih lanjut mengenai produk 1C dan ingin menjadi stokis untuk mengedarkan produk 1C bolehlah melayari laman web www.oneclay.blog.com atau hubungi Rozita di talian 012-3871440.