Beri senyuman paling menawan
Malah senyuman yang menarik dengan gigi bersih dan gusi sihat boleh menonjol serta meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan seseorang.
Melalui senyuman juga, ia dapat membuatkan seseorang kelihatan lebih menarik walaupun tidak semua memiliki wajah sempurna.
Namun perunding imej, Sheila Wong, berkata senyuman bukan sekadar melebarkan bibir, tetapi mendedahkan barisan gigi yang cantik tersusun tanpa sebarang kotoran yang boleh merosakkan imej seseorang itu.
Menurutnya, gigi yang tidak terjaga melambangkan seseorang itu tidak mengambil berat mengenai aspek kebersihan diri, tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak mengambil berat terhadap penampilan dirinya sendiri.
"Jika wajah saja yang cantik, tetapi apabila tersenyum menampakkan barisan gigi yang tidak terjaga, hitam dan rosak, sudah pasti ia memberikan perasaan kurang senang pada individu terbabit.
"Selain itu, jangan berasa rendah diri walaupun tidak memiliki gigi yang putih bersih kerana ia tidak menghalang seseorang itu daripada memberikan senyuman paling menawan," katanya.
Terdapat beberapa kategori senyuman boleh dikenal pasti antaranya senyuman yang dibuat-buat, palsu dan senyuman yang dapat menceriakan suasana.
Senyuman yang dibuat-buat biasanya boleh dilihat apabila individu terbabit hanya tersenyum sedikit sebelum reaksi mukanya kembali kepada asal.
Bagi senyuman palsu, ia terjadi apabila ekspresi muka seseorang itu tidak sama dengan senyuman diberikan malah ada kalanya boleh menimbulkan salah faham antara kedua-dua pihak.
Senyuman secara ikhlas pula dilakukan secara spontan yang berjaya menunjukkan kegembiraan individu terbabit ke atas sesuatu perkara tanpa rasa berbelah bagi.
Disebabkan itu, katanya, berikan senyuman yang lahir dari hati bukan secara terpaksa atau dibuat-buat kerana ia juga boleh memberikan implikasi positif kepada mereka yang berhadapan dengan anda.
"Sesetengah orang menutup mulut apabila ketawa kerana mereka tidak berasa selesa mendedahkan bahagian mulut.
"Seboleh-bolehnya senyum sambil menampakkan gigi bagi menunjukkan keikhlasan dan jangan takut atau bimbang untuk senyum kerana ia dapat menonjolkan keperibadian anda tanpa perlu berselindung dan memperkatakannya dengan kata-kata," katanya.
Tidak dapat dinafikan semua orang mahukan gigi yang cantik dan bersih. Bagaimanapun, bukan mudah mendapatkan barisan gigi yang putih bersih bagi menambah manis pada senyuman.
Tanpa penjagaan rapi, pengawalan makanan dan kerap berkunjung ke klinik gigi, belum tentu kita akan memperoleh barisan gigi yang boleh dibanggakan.
Oleh itu katanya, penjagaan mulut amat penting kerana kebanyakan masalah gigi berpunca daripada penjagaan gigi dan mulut yang tidak betul, cara pemakanan serta pembentukan plak.
Jika bahagian mulut tidak diberi perhatian, kesannya dapat dilihat pada gigi yang tidak bersih, hitam dan rosak, di samping mengeluarkan bau mulut yang tidak menyenangkan.
Malah ramai beranggapan menggosok gigi dua kali sehari sudah memadai untuk menjaga kesihatan gigi dan kebersihan mulut secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, realiti sebenarnya berbeza, kerana amalan menggosok gigi dua kali sehari pada waktu pagi dan malam, tidak mampu mengekalkan tahap kesihatan mulut yang mencukupi untuk mengawal pembentukan plak bakteria pada gigi yang boleh menyebabkan karies gigi, gusi bengkak dan penyakit lain berkaitan.
"Pendekatan lain perlu diambil untuk mengatasinya iaitu dengan melakukan amalan menggosok gigi setiap kali selepas makan.
"Malah seharusnya setiap individu perlu membawa ubat dan berus gigi di mana saja untuk menyenangkan proses berkenaan. Itulah yang saya sendiri amalkan sejak dulu lagi," katanya.
Di samping itu, pengambilan makanan seimbang juga boleh mengurangkan risiko kerosakan gigi.
Malah gaya kehidupan moden juga mendedahkan kita dengan pelbagai punca kerosakan gigi, termasuk merokok, minum kopi dan diet makanan tidak sihat yang mengandungi banyak gula.
Kita seharusnya mengambil makanan secara sihat seperti produk tenusu, roti, buah dan daging putih yang membekalkan vitamin, kalsium, karbohidrat, protein, magnesium serta zink.
Ia bertindak sebagai bahan sokongan dalam memelihara gusi dan gigi manakala pengambilan buah-buahan segar pula dapat merangsang pengeluaran air liur yang bertindak sebagai pencuci semula jadi bagi gigi.
Oleh itu, untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan oral, jenama terkenal dalam penjagaan kesihatan mulut, Colgate dengan sokongan Persatuan Pergigian Malaysia menganjurkan Bulan Kesihatan Oral Colgate sepanjang April 2010.
Sepanjang kempen itu berlangsung di seluruh negara, anda boleh mendapatkan pemeriksaan gigi percuma, nasihat daripada pakar serta barangan percuma Colgate.
Untuk maklumat lanjut, layari www.colgate.com.my