Nisbah guru pelatih lelaki, wanita diseimbangkan
Katanya pada pengambilan pelatih guru tahun ini, 50 peratus calon adalah lelaki dan nisbah sama untuk wanita di mana 40 peratus pelatih adalah dari Semenanjung dan 30 peratus masing-masing dari Sabah dan Sarawak.
"Ini adalah salah satu langkah kementerian bagi memastikan pelatih dari Sabah dan Sarawak boleh dihantar semula ke negeri asal mereka selepas tamat latihan manakala pelatih lain berkhidmat di Semenanjung.
"Ketika ini guru dari Semenanjung dihantar berkhidmat di Sabah dan Sarawak dan sebaliknya. Ini menimbulkan banyak masalah di samping kita dapat mengatasi masalah pertukaran guru ke kawasan pedalaman," katanya.
Puad berkata demikian dalam sesi dialog bersama persatuan ibu bapa dan guru dari sekolah-sekolah di sekitar Batang Kali, dekat Hulu Selangor, hari ini.
Menurutnya, pertukaran guru wanita ke kawasan pedalaman telah menimbulkan kebimbangan keselamatan dari pelbagai pihak.
"Kami juga ada kes di mana sebuah sekolah hanya mempunyai dua atau tiga guru lelaki dan mereka perlu menjaga aktiviti sukan bagi seluruh sekolah itu.
"Dalam menjaga soal disiplin, guru lelaki adalah pilihan yang lebih baik berbanding guru wanita," katanya.
Dalam perkembangan lain, Puad berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengabaikan sekolah vernakular di negara ini malah akan terus memberi bantuan dan geran kepada sekolah-sekolah tersebut.
Selain sekolah Cina dan Tamil, kerajaan juga akan melindungi sekolah agama kerana sekolah-sekiolah ini memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan.
"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan semua sekolah mendapat perhatian seimbang. Kita akan terus menyediakan geran dan bantuan kepada sekolah-sekolah ini kerana mahu pelajar yang berdaftar di sekolah ini mendapat pendidikan berkualiti," katanya.
Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sekolah jenis kebangsaan Cina diberi peruntukan RM134 juta bagi melaksanakan pelbagai kerja menaiktaraf infrastruktur manakala sekolah Tamil pula menerima RM64 juta untuk tujuan sama.
Puad juga berkata di bawah pakej rangsangan ekonomi yang dimumkan tahun lalu, kedua-dua sekolah Cina dan Tamil menerima peruntukan tambahan RM50 juta.
"Dalam tempoh setahun, kerajaan membelanjakan RM1.8 bilion untuk membayar gaji guru-guru di sekolah Tamil dan Cina. Ini adalah antara beberapa perkara yang kerajaan lakukan untuk sekolah-sekolah ini," katanya.
- Bernama