Sebat Sivil, Sebat Syariah...
SAYA rasa ramai yang sudah maklum bahawa tiga wanita kumpulan pertama telah pun menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah.
Menurut laporan akhbar, pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.
Semalam, saya difahamkan yang wakil media turut diberi kesempatan menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita berkenaan.
Mengikut undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.
Selain itu, hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita. Rotan yang digunakan pula berukuran maksimum 1.22 meter panjang dan ketebalan 1.25 sentimeter bergantung keputusan mahkamah.
Saya dimaklumkan, di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Mungkin ramai tertanya-tanya, adakah hukuman sebat ke atas pesalah syariah ini sama dengan pesalah sivil? Jawapannya sudah tentu ia jauh berbeza.
Sumber penjara memberitahu saya, dalam kes pesalah syariah, si tukang sebat hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
Pesalah juga hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak. Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
Bercakap mengenai hukuman sebat ini, saya tidak tahu adakah saya boleh dikategorikan sebagai 'bertuah' atau 'malang' sebenarnya.Ini kerana sewaktu bertugas sebagai wartawan jenayah beberapa tahun lepas, Ketua Pengarah Penjara ketika itu, Datuk Mustafa Osman secara peribadi telah memberi peluang kepada saya untuk menyaksikan sendiri hukuman sebat ke atas pesalah sivil - bukan syariah - di Penjara Kajang.
Pada mulanya saya agak teruja dengan tawaran tersebut, apatah lagi bila saya diberitahu pihak penjara tidak sewenang-wenangnya memberikan peluang kepada orang awam seperti saya untuk berbuat demikian.
Namun bila tiba hari yang dijanjikan, saya tiba-tiba dihantui rasa takut dan gementar, apatah lagi apabila dimaklumkan yang ada di antara banduan pada pagi itu akan disebat melebihi 10 sebatan, alamak!
"Di pertengahan hukuman nanti kalau Encik Syahril dah tak sanggup tengok, angkat tangan, saya akan arahkan pegawai saya mengiringi encik keluar," kata seorang pegawai kanan penjara kepada saya sejurus sebelum kami memasuki kawasan penjara.Saya hanya tersenyum. Namun Allah saja tahu debaran dada saya ketika itu.
Dipendekkan cerita, saya kemudiannya dibawa masuk ke kawasan hukuman sebat dijalankan. Ia terletak tidak jauh dari klinik penjara.Dari jauh saya sudah nampak lebih 40 orang banduan sedang duduk mencangkung. Saya agak terkejut kerana jumlahnya jauh lebih ramai daripada apa yang saya sangkakan.
Kesemua banduan ini bercawat, di mana hanya sehelai kain menutupi kemaluan mereka manakala bahagian punggung masing-masing agak terdedah.
Wajah cuak dan risau jelas terbayang di muka mereka, kesemuanya hanya diam seribu bahasa, tidak kurang juga yang saya lihat seolah-olah membaca sesuatu, mungkin sedang membaca mentera atau doa tahan sakit agaknya.
Saya kemudiannya mengambil tempat di satu kawasan terbuka. Kelihatan doktor dan pegawai kanan penjara sedang bersiap sedia untuk memulakan 'sesi' tersebut.
Lebih kurang 10 minit selepas itu, masuklah si tukang sebat. Dengan susuk tubuh yang tegap dan ketinggian hampir enam kaki, ternyata ia sudah cukup menggerunkan siapa saja yang melihatnya.
Sebelum bermula, saya melihat si tukang sebat tadi melakukan sedikit senaman ringan, kemudian dia mengambil sebatang rotan sambil mengacah-acah ke arah kayu berbentuk tripod (tempat di mana banduan akan diikat).
Tiba masa yang dijanjikan, banduan pertama di bawa masuk. Hati saya mula gelisah. Saya berdoa agar diberi 'keberanian' untuk menyaksikan hukuman yang cukup menyeksakan ini.
Selepas dibacakan kesalahan dan bentuk hukumannya oleh seorang pegawai penjara, banduan tadi pun di bawa ke kayu palang berbentuk tripod tersebut dan terus diikat rapi di bahagian kaki dan tangannya. Dia dikenakan 10 sebatan atas kesalahan merogol, phewww!
Di bahagian kepala, ada seorang wadar yang ditugaskan untuk memegang kepala banduan tersebut.
Tidak sampai beberapa minit selepas itu, si tukang sebat pun 'melibas' punggung lelaki berkenaan dengan hayunan yang cukup kuat. Gedebummmmm!!!
" ALLAHU AKBAR!!!!" jerit banduan tadi sebaik saja sebatan pertama hinggap di punggungnya.
Saya mengucap panjang, memang dahsyat hukuman tersebut, saya dapat lihat punggung banduan itu seolah-olah berdebu kesan kulit yang pecah.
Bila sampai saja sebatan yang kelima, saya lihat darah mula mengalir bagaikan air sirap pekat, membasahi punggung banduan berkenaan. Kulitnya seolah-olah tertanggal dari isi.
Saya dapat lihat air kencingnya mengalir, mungkin kerana tidak dapat lagi mengawal kesakitan yang ditanggung.
Bila masuk saja sebatan ke tujuh, dia sudah tidak mampu lagi mengeluarkan suara, saya hanya nampak punggungnya saja bergetar-getar menahan 'sengsara'.
Akhirnya cukuplah bilangan 10 sebatan. Selepas ikatan dibuka, dia pun terus di bawa ke klinik penjara.
Kelihatan air mata mengalir di pipinya... ketika ini dia sudah tidak boleh berjalan dengan betul lagi, malah dia terpaksa dipapah oleh dua orang wadar bertugas.
Terus-terang, saya tidak sanggup lagi melihat adegan seterusnya. Dengan pantas saya mengangkat tangan meminta agar dibawa keluar dari kawasan penjara. Saya lihat beberapa pegawai penjara hanya tersenyum melihat gelagat saya yang 'cuak' itu.
Doa saya hanya satu. Biarlah ini kali pertama dan biarlah juga ini kali terakhir saya melihat hukuman sebegitu. Dan saya tidak bercadang lagi untuk berbuat demikian walau wang ringit dijadikan sandaran.Saya trauma!
SYAHRIL A. KADIR adalah blogger dan bekas wartawan kanan jenayah yang pernah bertugas di akhbar arus perdana serta media elektronik tanah air. Blog beliau boleh dilawati di www.syahrilkadir.wordpress.com