Siasat laman web palsu Agong

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang mencipta laman web Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan memandang serius tindakan pencipta laman web itu kerana menggunakan dan mencemari imej Seri Paduka.

Beliau berkata, sejurus mengesan laman web itu, yang dibuat seolah-olah laman web rasmi Yang di-Pertuan Agong, beliau mengarahkan SKMM membuat siasatan untuk mengesan penciptanya.

"Perbuatan ini benar-benar membelakangkan tamadun Malaysia di samping tidak menghormati institusi raja di tanah air sendiri. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini harus dikenakan tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet di Angkasapuri di sini hari ini.

Sambil mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan bertolak-ansur dengan perbuatan jahat seperti itu, beliau berkata Malaysia mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang boleh mengenakan tindakan terhadap mereka.

Rais berkata, SKMM kini mempunyai seorang pendakwa khas dari Jabatan Peguam Negara bagi menjalankan tugas-tugas pendakwaan dan perundangan membabitkan undang-undang siber.

"SKMM sedang mengumpul maklumat perbuatan salah laku dalam aktiviti siber dan mereka yang dikesan boleh didakwa di bawah Seksyen 233 akta itu dan beberapa peruntukan lain.

"(Sebarang) keadaan jelik, hasutan, berbohong atau tidak berasas hingga kepada fakta menipu atau menjalankan kegiatan berjudi, kegiatan pornografi (boleh dikenakan tindakan)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani salah laku siber dan tindakan itu bukan untuk menapis atau menghalang kemajuan jalur lebar dan hak dalam internet.

"Apa yang berlaku di dunia siber sama dengan apa yang berlaku di dunia nyata yang berasaskan undang-undang.

"Kalau menyalahi undang-undang negara sama ada menerusi perbuatan hasutan atau mencerca dan mencemarkan ke bawah Duli Diraja serta berdusta, tindakan terpaksa diambil," katanya.


- BERNAMA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url