Terdapat trend peningkatan Influenza A H1N1

Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat trend peningkatan kes Influenza A H1N1 di negara ini sejak tiga minggu lalu dengan purata 50 kes positif H1N1 dikesan setiap minggu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan purata semasa kes positif H1N1 itu jauh lebih tinggi berbanding sekitar 20 kes positif seminggu yang dicatatkan sepanjang bulan Januari dan Februari lalu.

"Catatan mingguan terkini pula (sehingga semalam) menunjukkan 210 kes gejala seakan Influenza (ILI) baru, menjadikan jumlah semasa pesakit dengan ILI yang mendapatkan rawatan di hospital berjumlah 380 orang.

"Daripada jumlah tersebut, 32 pesakit (8.4 peratus) disahkan positif H1N1 melalui ujian makmal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Walaupun keadaan dilaporkan masih terkawal, beliau mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bersesuaian untuk mencegah penularan H1N1.

Dalam pada itu, Tiong Lai menjelaskan terdapat 10 kejadian kluster ILI dilaporkan sepanjang minggu ini sehingga semalam di Kelantan, Perak, Kedah, Selangor dan Melaka.

"Kluster ILI tertinggi dicatatkan di Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior, Pulau Dayang Bunting, Langkawi (48 kes), Sekolah Menengah Teknik Langkawi (43 kes), Purnama Beach Resort, Pulau Pangkor (31 kes) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, Langkawi (30 kes).

"Memandangkan rekod kluster ILI banyak melibatkan pelajar, ibubapa diingatkan supaya segera mendapatkan rawatan untuk anak mereka dan memastikan pesakit tinggal di rumah sepanjang tempoh kuarantin," ujarnya.

Beliau turut menegaskan pentingnya pesakit yang mempunyai gejala ILI atau positif H1N1 mengamalkan langkah pencegahan seperti yang dimaklumkan pihak kementerian melalui media cetak dan media elektronik.

Selain itu, Tiong Lai menyatakan rekod semasa menunjukkan sejumlah 12,688 kes positif H1N1 dicatatkan sejak April 2009 sementara jumlah kematian kekal pada 77 orang sehingga kini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat semasa kes H1N1 atau pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin H1N1 boleh melayari www.moh.gov.my atauh1n1.moh.gov.my.

Sementara itu di PERAK, empat guru dan tujuh pelajar antara 26 kes positif jangkitan virus H1N1 yang dilaporkan di negeri itu dalam tempoh 13 minggu dari 3 Januari lalu hingga hari ini.

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url