Buku Travelog Turki Bumi Khalifah - Menerokai kota sejarah, destinasi menarik Istanbul
# Susunan: Mohd Jhaznarul Juharul Zaman
# Penerbit: Pelima Media Sdn Bhd
# Pengulas: Hasliza Hassan
# Harga: Semenanjung Malaysia (RM45), Sabah dan Sarawak (RM47)
TURKI mempunyai sejarah gemilang tetapi belum tentu bangsa itu mengambil iktibar daripada kegemilangan pernah dicapai negara itu yang terkenal sebagai pembina empayar tersohor serta disegani rakan serta lawan.
Negara sekular Turki hari ini adalah kesinambungan Empayar Turki Uthmaniyah iaitu empayar Islam terbesar dan paling lama bertahan dalam sejarah peradaban manusia selama 600 tahun lamanya.
Empayar yang meliputi tiga benua – Asia, Eropah dan Afrika di bawah satu pemerintahan – menjadikan Empayar Uthmaniyah unik, kaya budaya, idea serta sumber. Bagi mengenang dan menjelajah sejarahnya, semua diceritakan dalam buku Travelog Turki Bumi Khalifah.
Buku ini adalah travelog atau pengkisahan citra rasa penulisnya Mohd Jhaznarul Juharul Zaman yang mengembara ke negara terletak di garisan pertemuan dua benua iaitu benua Asia dan Eropah serta disempadani lapan negara jiran antaranya Bulgaria, Greece, Azerbaijan, Iran dan Iraq.
Berdasarkan penyelidikan dan pengembaraan diri ke negara itu, penulis berkongsi kisah melalui buku bergambar ini. Dimulakan dengan sejarah awal Turki, pengembaraan pembaca buku ini diteruskan pengalaman bermula dari hari pertama penulis di Istanbul.
Hakikatnya, banyak tempat menarik diketengahkan berserta sejarahnya untuk bacaan ringan yang boleh membawa pembaca mengenali Turki tanpa perlu berada di negara berkenaan secara jasadnya.
Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke Turki, selain menyediakan maklumat terperinci negara itu, buku Travelog Turki Bumi Khalifah boleh menjadi panduan pembaca memilih tempat menarik untuk dikunjungi. apabila ada rezeki ke sana nanti.