Enam beradik piatu harap simpati masyarakat
PULAU PINANG 21 Mei - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Begitulah nasib yang menimpa enam beradik yang kini menumpang kasih dengan datuk dan nenek mereka yang telah uzur.
Ibu mereka, Mazlina Mohd. Taib, 34, meninggal dunia kira-kira seminggu selepas melahirkan adik bongsu mereka, Mohd. Ikmal Hafifi Mohd. Khairi, yang kini berusia sembilan bulan iaitu Ogos tahun lalu akibat masalah buah pinggang.
Selepas lima bulan pemergian ibu mereka, nasib Noraznorsari, 17; Nor Ahmad Khorsani, 16; Siti Jamiah, 12, Ahmad Daniel, 10 dan Ahmad Haris Adha, tiga tahun, bertambah malang apabila bapa mereka, Mohd. Khairi Durani, 53, pula menghilangkan diri.
Sehingga kini, hasil pencarian pihak polis hanya berjaya menemui motosikal Mohd. Khairi di atas Jambatan Pulau Pinang, manakala dia tidak ditemui di kawasan sekitar.
''Sehingga kini, kehilangan menantu saya itu menjadi teka-teki sama ada dia masih hidup atau tidak. Tetapi dalam hati saya, saya rasa dia telah tiada dan saya tidak pernah mengharapkan apa-apa lagi.
''Yang penting, saya bertekad, selagi ada nyawa dan kudrat, saya akan terus menjaga cucu-cucu saya ini sehingga mereka besar. Bagi mereka pelajaran dan bantu mereka untuk berjaya," kata Fauziah Osman, 58, ketika ditemui di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai di sini hari ini.
Fauziah dan suaminya, Mohd, Taib Mokhtar, 61, yang lumpuh sebelah kaki kini menggalas tanggungjawab menjaga keenam-enam adik beradik itu.
Terdahulu, Fauziah, Mohd. Taib dan adik beradik berkenaan menerima sumbangan RM10,000 daripada Bank Islam yang disampaikan oleh Pengurus Kawasan Utara, Ahmad Fauzi Mohd. Akhir.
Menurut Fauziah, dia tidak menyangka, perbuatan luar biasa menantunya yang mencium pipi Mohd. Ikmal Hafifi bertalu-talu sambil mengucapkan selamat tinggal tanda menantunya itu 'ingin' pergi.
Katanya, kejadian itu dilihatnya pada kira-kira pukul 4.30 pagi, 29 Disember tahun lalu, semasa menantunya itu sedang memberi anak bongsunya itu makan ubat kerana demam dan batuk sebelum keluar pergi bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pasar raya Tesco, di sini.
''Dia juga kata yang ini kali terakhir dia bagi Mohd. Ikmal Hafifi makan ubat. Saya memang rasa tak sedap hati bila mendengar dia berkata begitu. Dia menantu dan ayah yang baik. Tidak pernah kami tahu masalah yang dihadapi kerana dia seorang yang amat berahsia dan pendiam.
''Selepas dia hilang, barulah kami semua tahu dia banyak masalah terutama tunggakan sewa rumah ini yang mencecah RM3,600.
''Kerajaan negeri pula telah mengeluarkan notis supaya mengosongkan rumah ini sebelum 31 Januari lalu. Mungkin dia tertekan dengan masalah itu," luahnya sambil dikelilingi kesemua cucunya.
Sementara itu, Noraznorsari berkata, hasil bantuan pelbagai pihak, tunggakan sewa tersebut telah berjaya dibayar.
Katanya, mereka sekeluarga turut memperoleh bantuan bulanan RM850 yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Urus Zakat (PUZ) serta bantuan pembelian barang keperluan harian setiap bulan sebanyak RM200.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa individu yang bermurah hati telah menyelesaikan yuran persekolahan mereka adik beradik serta membayar sewa bulanan rumah tersebut sebanyak RM102 sebulan sejak Januari lalu.
''Saya amat berterima kasih kepada semua yang telah membantu kami adik beradik. Apa yang kami harapkan kini adalah semangat dan bantuan untuk memulihkan semula semangat kami untuk berjaya dalam pelajaran.
''Saya berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan saya duduki hujung tahun ini. Pada masa yang sama, saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu Nor Ahmad Khorsani supaya dia bersekolah semula," katanya sayu.
Kata Noraznorsari, bantuan yang diterima akan dipergunakan sebaik-baiknya terutama untuk pelajaran mereka adik beradik selain membeli barangan keperluan harian mereka sekeluarga yang menuntut belanja yang agak besar setiap bulan.
Sementara itu, mereka yang ingin membantu boleh menyampaikan sumbangan kepada adik beradik berkenaan dengan menghubungi Sekretariat Pengaduan Kebajikan Rakyat (Sepakat) di talian 04-3332155 atau 013-5234188 (SMS).