Final Piala Malaysia 2010 kembali ke Stadium Shah Alam


Selepas sembilan tahun berturut-turut Stadium Nasional di Bukit Jalil menjadi gelanggang final Piala Malaysia, saingan kemuncak piala berprestij itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 30 Oktober depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh berkata, perubahan venue itu disebabkan proses pengubahsuaian trek di Stadium Nasional.

"Jika pasukan Selangor sekalipun yang layak ke final Piala Malaysia, perlawanan tersebut tetap akan diadakan di Stadium Shah Alam.

"Keputusan ini dibuat sebab kapasiti tempat duduk penonton yang besar dimiliki Stadium Shah Alam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sejak siap dibina pada 1998, Stadium Nasional telah digunakan sebagai gelanggang final Piala Malaysia bermula musim 1998 kecuali pada 1999 dan 2000.

Pada edisi 1999, final di antara Brunei dan Sarawak berlangsung di Stadium Merdeka.

Pada edisi 2000 pula, final di antara Perak dan Negeri Sembilan di adakan di Stadium Shah Alam.

Selain edisi 2000, Stadium Shah Alam turut menjadi gelanggang final Piala Malaysia pada 1994, 1995, 1996 dan 1997 selepas ia siap dibina pada 1994.

Ini bermakna selepas 10 tahun, stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton itu akhirnya kembali mendapat penghormatan untuk menjadi pentas final Piala Malaysia.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url