Ibu Muda Hebat - Seimbangi famili dan kerjaya
Dua tahun lalu, Norafiza Abdul Latif tekad untuk melepaskan jawatannya sebagai Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Awam di sebuah syarikat swasta sedangkan ramai graduan muda seusianya masih tercari-cari peluang pekerjaan.
Semuanya berlaku gara-gara melihat perubahan hidup kakak dan abang iparnya yang agak mewah dan sering melancong ke luar negara. Norafiza pula pada masa itu selalu pulang lewat tetapi pendapatannya seperti tidak berbaloi.
Tanpa berfikir panjang, Norafiza mengambil keputusan mengikut jejak langkah kakak dan abang iparnya itu untuk menjadi ejen insurans pada Oktober 2008.
"Saya tidak rasa rugi meninggalkan kerjaya lama kerana pendapatan yang saya peroleh kini jauh lebih baik berbanding dahulu. Saya tidak perlu kerja teruk-teruk lagi.
"Kerjaya sebagai ejen insurans sangat menyeronokkan dan menjanjikan pendapatan yang lumayan jika berusaha keras," katanya yang baru melahirkan cahaya mata sulung lelaki, Nadhir Zharif pada 13 April lalu.
Kini, pendapatannya sebulan adalah dua kali ganda daripada gaji graduan berijazah. Bukan itu sahaja, anak ketiga daripada lima beradik ini mampu memiliki sebuah kereta mewah idamannya iaitu Mercedes B Class hanya selepas setahun bersama Prudential.
Kerjaya sebagai ejen insurans juga membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga ekoran jadual kerja yang fleksibel.
"Jika dulu saya perlu kerja pukul 9 pagi hingga 5 petang dan terpaksa bekerja lebih masa kerana bebanan tugas, kini saya bebas dan boleh keluar bekerja pada bila-bila masa yang saya suka.
"Sungguhpun ada kelonggaran di situ, saya perlu kerja keras dan berjumpa pelanggan jika mahukan pendapatan lebih. Tiada kerja tiada gaji," ujar graduan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam ini.
Tambahnya, untuk menjadi ejen insurans, disiplin perlu ada kerana kerjaya yang bermodalkan 'air liur' dan kepintaran memujuk ini tiada 'punch card'.
Keliling dunia
Kejayaan dan kegagalan seseorang ejen insurans itu ditentukan oleh diri mereka sendiri.
"Saya melibatkan diri dalam bidang yang menjanjikan ganjaran lumayan ini bukan kerana wang semata-mata.
"Cara ini juga membolehkan saya membantu orang ramai di luar sana untuk mendapatkan skim insurans yang terbaik buat mereka.
"Kesabaran dan berani berhadapan dengan penolakan perlu ada dalam diri kerana bukan semua orang yang kita jumpa akan membeli insurans dengan kita.
"Ada juga jumpa pelanggan yang tanya itu, ini dan minta penerangan terperinci tetapi akhirnya tidak jadi membeli insurans. Itu senario yang perlu ditempuh," katanya yang memenangi Top Rookie Award Central Region Prudential.
Walaupun kedudukan Norafiza sekarang mampu memenuhi impiannya untuk melancong mengelilingi dunia, dia tidak mahu menjadi ejen insurans selama-lamanya.
Pemilik senyuman menawan ini menyasarkan untuk menjadi pengurus insurans dalam masa tiga tahun lagi.
"Banyak kelebihan menyertai Prudential kerana saya berpeluang melancong ke Bali, Shanghai, Paris dan Monte Carlo dengan tajaan Prudential atas hasil usaha keras saya sendiri.
"Perjalanan tahun 2011 pula ke Mesir dan saya perlu berusaha untuk mencapai sasaran tahun ini supaya dapat menjejakkan kaki ke sana.
"Sesiapa yang berminat menceburkan diri dalam bidang insurans ini bolehlah e-mel kepada norafizaalatif@prupartner.com.my," katanya yang memasang impian memiliki rumah di dalam kelab golf.
Berkongsi cerita yang sama, Suraya Yeop Junior, 30, pula sanggup meninggalkan dunia glamor sebagai pengacara Wanita Hari Ini semata-mata untuk menumpukan perhatian kepada keluarga terutama kepada permata hatinya, Ilhan Morris yang baru berusia empat bulan.
Kini Suraya yang bertugas sebagai Pengurus Kanan Akaun di Salina & Associates bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama anaknya malah pada masa yang sama boleh bekerja dari rumah dengan izin majikannya iaitu kakaknya sendiri, Salina, 41, yang begitu memahami tuntutan sebagai seorang ibu.
Walaupun bekerja dengan kakaknya, Suraya masih profesional apabila melibatkan soal kerja dan tetap ke pejabat jika khidmatnya diperlukan.
"Jadual kerja saya fleksibel. Jika ada kerja penting dan majlis baru saya akan ke pejabat. Jika kerja biasa-biasa sahaja, saya akan lakukannya dari rumah.
"Bekerja dari rumah tidaklah semudah yang disangka kerana kita perlu lakukan tugasan pejabat dan dalam masa yang sama menguruskan anak yang perlukan perhatian," katanya.
Suraya memberitahu, dia akan memulakan kerja-kerja pejabat ketika anaknya, Ilhan tidur. Jika khidmatnya diperlukan di pejabat, Ilhan akan dihantar ke rumah ibu mertuanya, Dr. Norhayati Morris di Kampung Tunku, Petaling Jaya.
Walaupun mampu mengupah pembantu rumah, Suraya tidak betah berbuat demikian kerana dia lebih suka menjaga dan mengasuh anaknya sendiri.
Cabaran masa
"Menjadi seorang ibu dan dalam masa mempunyai karier menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.
"Sokongan daripada keluarga dan suami yang memahami sangat diperlukan bagi memastikan kedua-dua tugas dilaksanakan dengan jayanya.
"Cabarannya ialah pembahagian masa. Sesibuk mana kerja, jangan abaikan masa bersama keluarga.
"Keutamaan harus diberikan kepada keluarga dan kerja jatuh nombor dua," tegasnya yang mendapat dorongan dan sokongan penuh suami, Hanif Ghulam, 30.
Tambahnya, Ilhan yang senang diurus dan tidak banyak ragam memudahkan Suraya menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang pekerja, ibu dan isteri dengan baik.
"Kerja dari rumah memerlukan jadual dan disiplin. Jadual bukan untuk saya sahaja, malah Ilhan juga punya jadualnya sendiri untuk memupuk disiplin dari kecil lagi.
"Ilhan akan mandi dua kali sehari dengan menggunakan produk Carrie Junior yang harum, lembut dan baik untuk kulit," katanya sambil memangku Ilhan yang sudah lena di pangkuannya.
Sebagai penutup bicara, Suraya menitipkan pesanan buat wanita berkerjaya dan berkeluarga sepertinya supaya membuat pilihan bijak jika berada dalam dilema untuk memilih antara kerjaya dan keluarga.
"Buat pilihan terbaik. Terpulang kepada individu tetapi bagi saya keluarga menjadi keutamaan.
"Jika mahukan kedua-duanya, anda perlu mendapat sokongan yang kuat daripada suami dan ahli keluarga," ujarnya.
- KOSMO!
sebenarnya berlambak2 lagi laman web yg macam itu..harap pihak berkuasa pantau dgn betul..