JPN serah 385,000 MyKad

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah menyerahkan lebih 385,000 Kad Pengenalan Pintar (MyKad) kepada pemiliknya di kediaman masing-masing di seluruh negara dengan bantuan polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) sejak Januari lalu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim, berkata sehingga kini hanya kira-kira 15,000 daripada 400,000 jumlah keseluruhan MyKad yang sudah siap sejak Januari lalu, masih belum dituntut pemiliknya.
Berikutan itu, Alwi berkata, JPN akan terus bekerjasama dengan polis, Rela dan JPAM untuk menyerahkan baki MyKad yang masih belum dituntut pemiliknya.
"Selepas kita umumkan akan bekerjasama dengan polis, Rela dan JPAM untuk serah MyKad, orang awam mungkin tidak suka dan mereka terus menyerbu pejabat JPN di seluruh negara untuk menuntut kad pengenalan masing-masing.

"Usaha itu dapat membantu kita menyelesaikan masalah MyKad yang tidak dituntut sebelum ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada lebih 300 warga JPN di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Alwi berkata, orang ramai juga dijangka tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan MyKad masing-masing apabila JPN menaik taraf sistem pemprosesan kad pengenalan menerusi peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Justeru, Alwi berkata, pihaknya akan meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membeli pelbagai peralatan baru termasuk mesin pencetak yang dianggar bernilai RM600,000 setiap satu bagi mempercepatkan proses pengeluaran MyKad.
"Masalah kelewatan kita mengeluarkan kad pengenalan sekarang adalah kerana semua MyKad dan MyKid hanya boleh dikeluarkan oleh Ibu Pejabat JPN di Putrajaya.

"Kita berharap kerajaan akan meluluskan peruntukan berkenaan bagi membolehkan JPN membeli mesin mencetak yang berupaya memproses dan mencetak terus MyKad dan MyKid dalam tempoh 24 jam selepas permohonan dibuat orang ramai di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Alwi berkata, JPN juga akan terus meningkatkan kerjasama dengan agensi lain bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk tanpa dokumen pengenalan diri di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 25,254 penduduk di Sarawak masih tiada dokumen pengenalan diri, membabitkan penduduk tempatan yang tidak memohon dan juga warga asing yang lama menetap di negeri itu.

Berikutan itu, Alwi berkata, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Penduduk Tanpa Dokumen Pengenalan Diri awal tahun ini.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url