Rakyat Filipina peka tunai kewajipan mengundi
Senator Benigno Aquino dari Parti Liberal akhirnya diisytiharkan memenangi pilihan raya merebut jawatan Presiden menggantikan Gloria Macapagal Arroyo selepas menewaskan bekas Presiden, Joseph Estrada dan ahli perniagaan, Manuel Villar.
Secara keseluruhan, pilihan raya umum Filipina dipenuhi dengan pesta, konsert, hiburan, sogokan wang, material dan wanita selain ugutan menggunakan senjata api.
Di Manila, rapat umum yang diadakan parti atau calon bertanding umpama pesta dengan ribuan penyokong berkumpul berhibur dengan persembahan nyanyian, tarian berkumpulan wanita berunsur 18SX, lemparan poster serta cenderamata memaparkan wajah calon sebelum diakhiri ceramah politik.
Namun, pilihan raya umum kali ini turut dipenuhi unsur kejutan seperti larangan minum dan menjual arak di tempat awam bagi rakyatnya dalam tempoh 48 jam iaitu sehari sebelum dan pada hari mengundi.
Alasan mudah Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina (Comelec) ialah untuk mengelak lebih banyak perlakuan ganas dan negatif penyokong parti menjelang dan pada hari mengundi.
Comelec turut melarang orang awam membawa senjata api secara bebas sepanjang tempoh itu. Ini sekali gus memerlukan polis meningkatkan tahap keselamatan dengan membuat sekatan jalan di kawasan pusat mengundi dan juga pusat penjumlahan undi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC).
Tiada peraturan khas mengawal calon berceramah, tetapi mereka yang didapati memburukkan kerajaan dalam kempen akan ditahan serta-merta pihak berkuasa. Calon tidak menyentuh langsung soal keburukan calon dan parti lawan, sebaliknya menerangkan agenda yang hendak dibawa kepada rakyat.
Mungkin disebabkan tempoh kempen pilihan raya agak lama iaitu memakan masa 90 hari bagi perebutan jawatan peringkat nasional dan 45 hari bagi peringkat tempatan, ini menjadikan kempen pilihan raya di Filipina sentiasa dibanjiri ribuan penyokong.
Ceramah pula diadakan mengikut kemampuan kewangan calon dan bergantung kepada sumbangan daripada penyokong serta ahli parti.
Derma penyokong dan ahli adalah sumber utama parti serta calon bertanding. Ia turut menerima bantuan langsung atau tidak langsung daripada media atau golongan dipanggil ‘godfather’. Media cetak di Filipina terutama `akhbar nyamuk' mengeksploitasi sepenuhnya amalan kebebasan media, sesuatu yang mungkin tidak sesuai diamalkan di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan kepercayaan agama jika mahu memelihara keharmonian serta perpaduan.
Kebebasan media juga menyebabkan ramai calon dan partinya bertindak ‘membeli’ editor atau akhbar tertentu untuk dijadikan jentera kempen dan propaganda. Seorang rakan media di sana yang diminta pendapat mengenai peranan wartawan sepanjang tempoh kempen pilihan raya berkata, media (wartawan dan penerbit) akan melaporkan perkara yang baik dan hebat saja terhadap calon yang disukai dan akan berusaha ‘menguburkan’ terus calon yang tidak disukai.
Ada wartawan yang ditemui mendakwa, pilihan raya di Filipina adalah kesempatan terbaik syarikat akhbar, editor dan wartawan ‘membuat duit’ kerana dapat menggunakan pengaruh mereka bagi mengugut untuk mendedahkan rahsia peribadi calon, menjatuhkan kredibiliti calon atau memburuk-burukkan calon menjelang pilihan raya.
Namun, akhbar arus perdana yang mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat Filipina memberi laporan adil kepada semua calon bertanding setiap isu positif atau negatif dilaporkan tanpa sebarang sentimen.
Uniknya pilihan raya di negara itu ialah bagi mengisi kekosongan lebih 17,000 jawatan masing-masing untuk satu bagi Presiden dan Naib Presiden, 12 kerusi senator, 57 kerusi wakil parti, 230 ahli kongres, 80 gabenor dan naib gabenor.
Selain itu, 766 wakil rakyat wilayah tempatan, 137 kerusi datuk bandaraya, 1,497 ahli majlis bandar raya, 1,524 bagi jawatan ketua majlis perbandaran dan naib serta 11,980 jawatan ahli majlis perbandaran.
Ini jumlah yang boleh dianggap terlalu banyak untuk dipilih pengundi dan mungkin menjadi kejutan bagi pengundi di Malaysia yang lazimnya hanya perlu memangkah dua calon - satu pada peringkat Parlimen dan satu peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bayangkan kertas undi sepanjang dua helai kertas A4 dengan ratusan nama yang hendak dipilih sehingga ada pengundi terpaksa berkerut dahi hampir sejam untuk selesai menanda kertas undi.
Pilihan raya umum Filipina kali ini juga yang kali pertama menggunakan mesin mengira automatik yang mampu mengira 1,000 kertas undi pada satu masa. Sebanyak 76,347 mesin itu disediakan Comelec bagi memastikan kelancaran pengiraan kertas undi, sekali gus diharap mempercepat pengumuman keputusan pilihan raya.
Kertas undi yang dicetak Comelec hampir menyamai kertas peperiksaan objektif peperiksaan utama di Malaysia, namun ia ditanda pen dakwat hitam khas yang boleh dibaca mesin automatik.
Selepas mengundi, jari pengundi ditanda dengan dakwat khas berwarna biru bagi membuktikan empunya diri sudah selesai mengundi.
Sementara itu, menjelang dua hari pilihan raya berlangsung, Pesuruhjaya Comelec, Gregorio Y Larrazabal memberitahu Berita Harian, pihaknya yakin 100 peratus terhadap sistem baru kiraan undi menggunakan mesin automatik yang diperkenalkan bagi memastikan keputusan pilihan raya lebih cepat dan telus.
Namun, keputusan sah hanya diketahui empat hari selepas pilihan raya berlangsung kerana pelbagai masalah teknikal termasuk kegagalan mesin mengira undi dengan tepat, sekali gus membuktikan dakwaan penganalisis politik sebelum itu yang menganggap jaminan Comelec bahawa keputusan pilihan raya akan diketahui tempoh 48 jam adalah hanya indah khabar dari rupa.
Namun, dari sudut positif, penggunaan mesin automatik dilihat membantu kira-kira 50.1 juta rakyat Filipina menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan calon yang bertanding dianggap terlalu ramai.
Mungkin, Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) wajar menimbang penggunaan mesin mengira automatik bagi mempercepatkan proses pengiraan kertas undi sekali gus mempercepatkan keputusan diketahui memandangkan jumlah calon bertanding pada setiap pilihan raya umum di negara ini lazimnya antara dua hingga empat penjuru.
Seperkara yang menarik pada pilihan raya Filipina ini ialah, pusat mengundi dikendalikan Barangay atau persatuan penduduk dan ahli jawatankuasanya. Di kawasan golongan elit dan mewah, proses mengundi berlangsung dengan penuh aman, teratur dan disiplin kerana bilangan mengundi agak kecil.
Pengundi di kawasan elit hadir ke pusat mengundi diiringi pengawal peribadi bersenjata api, manakala di kawasan penduduk berpendapatan sederhana, keadaannya juga hampir sama.
Secara keseluruhan, rakyat Filipina mempunyai kesedaran tinggi untuk mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang merdeka. Kematangan mereka berpolitik wajar diambil perhatian oleh rakyat di negara ini yang pada hakikatnya masih berpegang kepada politik sentimen dan sempit.
- BERITA HARIAN