Kos Belajar Memandu Mungkin Naik - JPJ

Kos untuk belajar memandu mungkin akan dinaikkan berikutan pengenalan kurikulum pembelajaran yang baru yang kini berada di peringkat akhir untuk mendapat kelulusan kerajaan dan mungkin dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata kenaikan kos itu tidak dapat dielakkan dalam usaha JPJ mewujudkan kurikulum pembelajaran memandu yang lebih berkualiti dan menyeluruh kepada bakal pemandu di negara ini.

"Saya jangka akan berlaku kenaikan (kos) sebab kita mahu menuju kepada kualiti latihan yang lebih baik. Kalau kita tidak mahu pemandu yang tidak berkualiti, yang tidak mempunyai pemanduan berhemah, cermat dan bersopan santun, kita kenalah bayar lebih sedikit (untuk latihan memandu)," katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Satu Komuniti Satu JPJ' di sini hari ini.

Seramai 585 masyarakat Orang Asli turut menerima lesen memandu B2 pada majlis ini.Solah menjangkakan kenaikan kos berkenaan akan menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat, namun beliau menegaskan bahawa negara masih menenakan bayaran paling rendah bagi mendapatkan lesen memandu.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa JPJ akan memperkenalkan kurikulum baru ke arah menyediakan satu sistem latihan memandu yang dapat melahirkan pemandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.

Solah berkata menerusi kurikulum baru, jumlah waktu belajar memandu akan turut mengalami perubahan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah waktu baru yang akan ditetapkan.

"Kita juga akan mengajar mengikut jenis kenderaan yang mereka (pelajar mamandu) mahukan. Kalau mereka mahu kenderaan jenis manual, kita akan ajar cara mengendalikan kenderaan manual, kalau mahu kenderaan automatik, kita akan ajar memandu kenderaan yang berautomatik," jelasnya.

Katanya para pemegang lesen memandu P (percubaan) juga perlu mengambil ujian khas untuk memperolehi Lesen Memandu Kompeten (CDL) selepas ini dan bukan memperolehinya secara automatik seperti sekarang.

"Kita juga akan memperbaiki lagi cara untuk mendapatkan lesen Public Service Vehicle (PSV) dan Good Driver's License (GDL). Ini antara beberapa perubahan yang kita hendak laksanakan. Kita kini dalam peringkat akhir untuk mendapat persetujuan pihak Kementerian Pengangkutan," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url