Sabtu, Mei 29, 2010

Langgan internet dapat komputer

Telekom Malaysia Bhd (TM) semalam melancarkan pakej ‘Jalur Lebar TM dengan Komputer 1Malaysia’ yang membolehkan pelanggan berpendapatan rendah mendapatkan 200,000 komputer percuma dengan yuran bulanan perkhidmatan jalur lebar serendah RM38.

Ketua Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata pihaknya berharap pakej itu akan menggalakkan lebih ramai keluarga serta golongan muda mempelajari kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, pakej berkenaan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan jalur lebar terutama keluarga yang mempunyai anak bersekolah menerapkan ICT dalam aspek kehidupan mereka untuk tujuan pengetahuan, pekerjaan, pendidikan dan hiburan.

“Selain itu, kami berharap memperluaskan perhubungan jalur lebar di kalangan komuniti menerusi pengenalan pakej ini supaya gaya hidup digital boleh dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya pada pelancaran pakej berkenaan pada Majlis Daerah Jelebu di Negeri Sembilan, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Zamzamzairani berkata, pelanggan yang mahu mendapatkan komputer percuma itu perlu mematuhi beberapa syarat, antaranya pendapatan bulanan isi rumah RM3,000 ke bawah untuk penduduk kawasan pedalaman dan RM5,000 ke bawah bagi penduduk bandar.

Katanya, pelanggan boleh memilih sama ada mendapatkan Komputer 1Malaysia dengan yuran bulanan perkhidmatan RM38 sebulan atau jenama Hewlett Packard (HP) dengan yuran tambahan.
“Pelanggan yang layak akan menerima akses jalur lebar Streamyx dengan kelajuan daripada 384 Kbps, sebuah Komputer 1Malaysia atau HP dengan cakera keras 160 atau 250 Giga Bait (GB), memori 1 GB dan dilengkapi kamera web, keupayaan WiFi serta penghantaran percuma ke seluruh negara.

“Selain itu, mereka akan memperoleh satu akaun dan akses percuma Streamyx Zone, satu modem tanpa wayar percuma dengan jaminan 12 bulan, satu akaun e-mel
Streamyx, pilihan menambah pelan panggilan RM10 dan pengecualian yuran pemasangan (RM88) serta yuran pengaktifan (RM75).

“Bagi jalur lebar yang lebih tinggi, mereka boleh memilih pakej daripada 512 Kbps sehingga 4 Mbps dengan tambahan yuran minimum sebanyak RM15 sebulan,” katanya.

Zamzamzairani menambah, syarikat kini mempunyai lebih 2,300 lokasi Streamyx Zone meliputi kawasan awam di bandar utama seperti pusat beli belah, restoran atau kafe, lapangan terbang, hotel, hospital, kampus universiti, kelab golf dan pusat konvensyen.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts