Ops Kesan, Ops Perisian Palsu dan Ops Pecat Orang...
Kita biasa mendengar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Polis, Tentera, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pelbagai agensi penguatkuasaan lagi mengada dan melancarkan operasi tetapi jarang-jarang kita mendengar Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan operasi sehinggalah Rabu lalu, agensi tersebut meletakkan iklan dalam akhbar menyatakan amaran yang ia akan melancarkan operasi ke atas majikan.
Operasi itu dinamakan OPS KESAN PERKESO iaitu operasi penguatkuasaan di seluruh negara untuk mengesan majikan yang belum berdaftar dengan pertubuhan itu. Pendek kata, ops tersebut adalah untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan. Jadi semua majikan berwaspadalah.
Ops ini akan bermula 1 Jun dan menurut PERKESO, sebelum mereka melancarkan ops ini, mereka telah pun memberi notis sehingga 31 Mei ini kepada semua majikan supaya datang secara sukarela membuat pendaftaran di pejabat-pejabat PERKESO di seluruh negara.
Di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, semua majikan yang menggaji seorang atau lebih pekerja adalah dikehendaki berdaftar dengan PERKESO. Tindakan undang-undang termasuk pendakwaan di mahkamah boleh diambil ke atas mana-mana majikan yang didapati gagal berdaftar dan jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Lagi Tentang Ops...
Dan nampaknya kini bukan PERKESO sahaja yang melancarkan operasi khas tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut melancarkan operasi khas untuk membanteras penggunaan perisian palsu atau cetak rompak.
Operasi tersebut yang dikendalikan di bawah Pasukan Khas Anti Cetak Rompak telahpun melakukan pengempuran pada 10 Mei lalu ke atas mana-mana organisasi yang menggunakan perisian palsu pada komputer mereka.
Ramai yang tidak sedar atau ambil mudah, untuk setiap perisian palsu atau cetak rompak, mereka boleh didenda sehingga RM20,000. Jika sebuah pejabat memiliki 20 komputer yang menggunakan perisian palsu, ini bermakna mereka boleh didenda sehingga RM400,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun.
Oleh itu, kepada semua syarikat yang beroperasi menggunakan komputer yang besar dan banyak, pastikan perisian anda adalah perisian yang berlesen dan bertauliah dan pastikan anda menyimpan bukti laporan audit perisian dan bukti perlesenan di pejabat. Mana tahu pejabat anda diserbut pegawai penguatkuasa Kementerian. Jadi AWAS!
Sejarah Akan Tercatat di DBKL...
Untuk pertama kali dalam tempoh 30 tahun, parti pembangkang akan mempunyai wakil dalam Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini kerana khidmat dua orang wakil Negeri Selangor dalam lembaga tersebut telah pun tamat pada 31 Mei dan kedua-dua wakil berkenaan iaitu Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan peguam Mah Hang Yew adalah lantikan oleh kerajaan negeri yang terdahulu.
Kini, Menteri Besar Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu menamakan dua orang calon baru untuk mengisi kekosongan tersebut.
Lembaga Penasihat DBKL perlulah mempunyai 15 anggota yang diwakili oleh Kementerian Wilayah, Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan dua orang wakil daripada Negeri Selangor. Lain-lain anggota mestilah terdiri daripada individu yang mempunyai sama ada kelayakan profesional, pengetahuan mengenai kerajaan tempatan atau kepakaran yang dapat membantu agensi tersebut menyumbang kepada masyarakat kota.
Walaupun Akta Ibu Negara Persekutuan 1960 memberi sepenuhnya kuasa kepada Datuk Bandar untuk membuat sebarang keputusan yang melibatkan urus tadbir ibu negara Malaysia tetapi anggota Lembaga Penasihat masih berperanan memberikan maklum balas dan nasihat kepada Datuk Bandar dan DBKL dalam melaksanakan tugas harian mereka.
Atas sebab itulah setiap anggota penasihat telah diberikan potfolio tertentu dan kawasan yang menjadi perhatian atau di bawah ‘penyeliaan’ mereka.
Pihak media telah membuat spekulasi antara nama yang disebut-sebut berada di bawah perhatian Menteri Besar untuk dicalonkan dalam Lembaga Penasihat DBKL bagi mewakili negeri itu antara lain ialah Ketua Wanita PKR yang juga ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Wilayah Persekutuan, Felicia Ling, pegawai khas Menteri Besar di parlimen Bandar Tun Razak, Azman Abidin dan ahli parlimen Cheras dari DAP, Loh Chee Heng.
Pelantikan semua anggota Lembaga Penasihat DBKL mestilah terlebih dahulu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dan Ops Pecat Orang...
Nampaknya di sebalik pelbagai operasi yang dijalankan oleh jabatan dan agensi Samy vellu juga ligat melancarkan opsnya sendiri iaitu Ops Pecat Ahli.
kelemut politik dalam MIC tak habis-habis iaitu dari kontroversi siapa yang patut menjadi calon pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, kemudian pemecatan Naib Ketua Pemudanya dan beberapa lagi pemimpin pusat, isu persaraan Samy Vellu, tuduhan yang dibuat oleh anaknya Vell Paari ke atas Umno sebagai dalang perpecahan dalam MIC dan yang terbaru Samy Vellu telah memecat setiausaha agungnya sendiri iaitu S. Murugessan pada hari Ahad.
Apa nak jadi dengan MIC, Samy....
- MSTAR