Kebangkitan Malaysia Building Society Berhad (MBSB)
Syarikat pembiaya kewangan, Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) diyakini kekal mantap dengan sekurang-kurangnya mengekalkan keuntungan pada tahun ini selepas berjaya mencatatkan perubahan prestasi yang menggalakkan.
Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2009, MBSB buat pertama kalinya di bawah teraju Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman, mencatat keuntungan sebelum cukai tertinggi sebanyak RM80.2 juta, meningkat 48.6 peratus.
Pada masa yang sama, perolehan syarikat turut berkembang 29 peratus kepada RM537.96 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Ahmad Zaini menyifatkannya sebagai satu lonjakan prestasi yang amat memberangsangkan dan menjadi satu titik permulaan kepada kebangkitan semula syarikat.
Beliau berkata, kekuatan syarikat adalah dalam perniagaan peruncitan termasuk dalam segmen pembiayaan perumahan dan pembiayaan peribadi.
Jelasnya, prestasi terbaik dicatatkan oleh syarikatnya sejak tahun lalu adalah hasil model perniagaan yang diperkenalkan pada tahun itu.
"Ia merupakan pelan perniagaan tiga tahun syarikat yang menyasarkan keuntungan tiga kali ganda pada 2011," kata beliau dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di sini.
MBSB yang ditubuhkan pada 1950 dan kini mempunyai lebih 50,000 pelanggan asas dimiliki 67.11 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja manakala bakinya oleh Permodalan Nasional Berhad sebanyak 14.91 peratus.
Ditanya sama ada pencapaian keuntungan itu adalah didorong oleh peranan yang dimainkan beliau sendiri, Ahmad Zaini menjelaskan, peranan itu merupakan satu tanggungjawab beliau yang diamanahkan kerajaan untuk 'meningkatkan keupayaan MBSB' dalam industri kewangan yang sengit persaingannya.
Katanya, pengenalan tindakan yang tegas tetapi berhemah sepanjang lebih setahun tiga bulan berkhidmat di MBSB bagi mengubah minda dan mentaliti kakitangan kepada budaya yang lebih berdisiplin dan proaktif, berjaya membuahkan hasil.
Menurut Ahmad Zaini, peranan sebenar beliau di MBSB adalah menyediakan kemudahan dan faedah kepada kakitangan kerajaan yang mewakili sebahagian besar pelanggannya.
Beliau berkata, pihaknya beruntung kerana mempunyai lebih 80 peratus pelanggan setia dalam sektor peruncitan yang merupakan kunci kekuatan perniagaan syarikat.
"Selain penyimpan deposit dan peminjam pembiayaan peribadi, syarikat-syarikat pemaju perumahan turut mengintai peluang pembiayaan kedua dan ketiga melalui MBSB.
"Perkhidmatan terbaik yang ditawarkan kami (MBSB) menambat hati pelanggan selain faedah lain yang diperoleh mereka," jelas beliau.
Ahmad Zaini berkata, MBSB kini sedang giat melaksanakan perancangannya untuk memulihkan dan menstruktur semula pinjaman legasi (tinggalan pengurusan lampau) membabitkan lebih 200 hektar tanah miliknya.
Katanya, kebanyakan tanah komersial bernilai tinggi yang dimilikinya terletak di bahagian utara, tengah dan selatan Semenanjung dan sebarang usaha pemulihan dilihat bakal berupaya meningkatkan lagi keuntungan syarikat.
Mengulas lanjut tentang prestasi MBSB selepas diterajuinya, Ahmad Zaini berkata, pihaknya berjaya mengubah dasar dan menarik nilai pembiayaan peribadi secara keseluruhan berjumlah lebih RM200 juta sebulan berbanding RM18 juta sebulan sebelum ini.
''Ini merupakan satu peningkatan prestasi yang amat menggalakkan dan di luar dugaan.
"Pada tahun lalu, saya pernah dianggap gila oleh sesetengah kakitangan kerana meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dalam pembiayaan peribadi, namun, ternyata ia bukan kerja gila dan akhirnya menjadi realiti.
"Saya dapati kakitangan MBSB sudah boleh menerima corak pengurusan baru yang dilaksanakan, malah, mereka semakin berdaya saing selain bermotivasi tinggi untuk melakukan tugas dengan lebih baik," ujarnya.
Ahmad Zaini berkata, pihaknya mahu memperkenalkan pakej-pakej pembiayaan kewangan lebih baik dan menarik pada tahun ini termasuk memperkenalkan pakej pembiayaan kediaman kedua pada kadar faedah yang rendah dan mempunyai nilai tambah yang memuaskan hati pemimjam.
Katanya, langkah itu sejajar dengan usaha MBSB untuk menyokong dasar kerajaan dan usaha membantu kakitangan awam melalui penawaran pakej-pakej pembiayaan khas untuk kemudahan mereka.
"Kami kini berada dalam perancangan untuk memperkenalkan berbagai pakej pembiayaan menarik kepada kakitangan awam yang merangkumkan pelbagai keperluan kewangan di dalam satu produk kami.
"Ini merupakan satu tawaran yang menarik untuk pelanggan kami dan peluang ini tidak harus dilepaskan kerana kadar faedah pinjaman yang ditawarkan adalah kompetitif dengan institusi kewangan yang lain," tambah beliau.
MBSB yang kini mempunyai 32 cawangan di seluruh negara, menyasarkan untuk mempunyai lebih 100,000 asas pelanggan baru pada tahun ini dengan 90 peratusnya merupakan kakitangan awam.
Ditanya tentang perancangan perluasan perniagaan, beliau berkata, MBSB berhasrat memperkenalkan kad kredit berlandaskan syariah pertama pada tahun ini dengan tujuan untuk meningkatkan lagi perniagaan syarikat dalam sektor peruncitan.
"Kami yakin melalui pengenalan kad kredit tersebut, meningkatkan permintaan dan memberi kemudahan kepada kakitangan awam dan swasta," ujarnya.
Ahmad Zaini menambah, MBSB sentiasa menyokong kakitangan awam dengan menawarkan pelbagai kemudahan kewangan di bawah satu bumbung.
Katanya, sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-60 MBSB pada tahun ini, pihaknya telah meningkatkan pelbagai produk sedia adanya seperti pembiayaan peribadi, kediaman dan hartanah serta deposit produk.
Jelasnya, semua kemudahan ini ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang layak khususnya kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia.
Malah, menurut beliau, MBSB turut mewujudkan pusat pembangunan kewangan Islam MBSB di Pantai Timur sebagai satu penghargaan kepada para pelanggannya di sana.
"Pembukaan pejabat perwakilan MBSB berkonsepkan Islam merupakan satu inisiatif syarikat terhadap para pelanggan di negara ini.
"Malah, kewujudan pusat pembangunan kewangan Islam di Pantai Timur memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan sistem kewangan Islam itu sendiri," ujarnya.
Pejabat perwakilan MBSB berkonsepkan Islam telah dibuka di Dungun, Terengganu di Temerloh, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan.
- UTUSAN