World Cup FIFA 2010 Dalam 'HD'

ASTRO terus menyemarakkan kehangatan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan dengan mendedikasikan kesemua 64 perlawanan secara langsung menerusi 12 saluran termasuk 10 saluran khas berdefinisi tinggi (HD) dan siaran biasa (SD) bermula 11 Jun depan.

Menurut Pegawai Ketua Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, sebagai menghargai peminat-peminat bola sepak di Malaysia, pihaknya berbangga untuk menghidangkan kesemua perlawanan dalam saluran itu.

"Untuk para peminat bola sepak, sempena World Cup kali ini, kami mendedikasikan 10 saluran khas yang akan menyiarkan kesemua 64 perlawanan secara langsung.

"Lima daripadanya dalam bentuk definisi tinggi (HD), manakala lima lagi dalam siaran biasa. Pengalaman menyaksikan Piala Dunia kali ini pasti lebih hebat dengan paparan visual berdefinisi tinggi (HD) sejak kami memperkenalkan Astro B.yond akhir tahun lepas," katanya.

Ketika ditanya mengenai peratus kebarangkalian peningkatan langganan pakej sukan di Astro menjelang Piala Dunia, Rohana bagaimanapun tidak dapat mendedahkan peratus itu memandangkan angka terkini rekod langganan masih belum dikumpulkan lagi.

Namun, Rohana optimis dengan sasaran mereka yang menjangkakan peningkatan sementelah ketibaan kejohanan sukan paling ramai ditonton di dunia itu bulan depan.

"Kami masih belum dapat menentukan dengan terperinci mengenai peratus pelanggan pakej sukan Astro buat masa ini namun kami yakin tawaran ini pasti menggembirakan dan menarik perhatian ramai peminat bola sepak di Malaysia.

"Malah, respon masyarakat terhadap Astro B.yond sejak ia dilancarkan tahun lalu juga menunjukkan reaksi positif dan memberangsangkan. Berdasarkan laporan hingga hujung tahun lepas, jumlah pelanggan terus meningkat sehingga 55 peratus. Kami mensasarkan peratus pelanggan Astro akan terus meningkat tahun ini," katanya.

Selain 10 saluran khas untuk Piala Dunia FIFA 2010, Astro turut memastikan siaran langsung perlawanan Piala Dunia kali ini dapat disaksikan di saluran sukan tempatan 24 jam Astro Arena (Saluran 801) dengan komentar dalam Bahasa Malaysia dan Astro Wah Lai Toi (saluran 311) dengan komentar dalam Bahasa Kantonis.

Selaku penyiar rasmi TV berbayar bagi Piala Dunia FIFA 2010, Astro telah menyediakan pelbagai program sampingan yang bakal memuaskan selera 'kaki bola' di Malaysia dengan menawarkan pengalaman yang berbeza dari tahun-tahun sebelum ini menerusi TV, internet dan telefon mudah alih.

Sejak 1998, rakyat Malaysia telah menyaksikan liputan intensif dan menyeluruh Piala Dunia yang bertandang setiap empat tahun di Astro. Menariknya kali ini, Piala Dunia edisi ke-19 ini bakal dipersembahkan melalui siaran HD dengan menjanjikan pengalaman luar biasa kepada penonton, seolah-olah menyaksikan perlawanan di stadium itu sendiri.

Siaran Piala Dunia kali ini merupakan siaran HD Astro yang pertama bagi Piala Dunia FIFA 2010 melalui perkhidmatan Astro B.yond. Untuk melanggan pakej sukan Astro sila hubungi 1 300 82 3838 atau layari www.astro.com.my untuk maklumat lanjut.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url