ASW 2020 Bandar bantu miskin tegar

Seramai 4,976 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin bandar di seluruh negara menjadi kumpulan pertama menerima saham Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 Bandar yang dilancarkan semalam dengan masing-masing diperuntukkan RM10,000 sebagai wang prinsipal pelaburan.

Program khas ASW 2020 Bandar yang membabitkan RM100 juta peruntukan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri itu adalah satu lagi usaha kerajaan mengeluarkan rakyat miskin tegar serta miskin di bandar daripada kepompong kemiskinan ke arah mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.

Semua penerima, termasuk 196 di Wilayah Persekutuan adalah sebahagian daripada 5,466 miskin tegar dan 2,973 miskin di bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih Fasa 1 dan Fasa II. Penerima akan menerima dividen serta pulangan lain setiap tahun daripada pelaburan 10,000 unit saham itu sepanjang hayat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkannya, berkata unit saham itu akan diberikan kepada KIR lain yang layak apabila penerima terbabit meninggal dunia.

Saham ini tidak dijadikan harta pusaka kerana mungkin anak mereka sudah menjadi doktor, jurutera atau tidak layak menerima, katanya.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Najib turut menyampaikan Buku Pelaburan ASW 2020 Bandar kepada 196 penerima berkenaan.

Melalui skim bantuan itu, wang prinsipal pelaburan tetap hak milik kerajaan. KIR tidak layak dipertimbangkan menyertai program itu jika pernah menerima bantuan sebarang program saham oleh mana-mana agensi, sudah mempunyai simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) atau mana-mana skim amanah saham melebihi RM1,000 dan pernah muflis.

Sambil menjelaskan skim itu berbeza daripada yang lain, Perdana Menteri memberi contoh jika dividen tahun ini 6.5 peratus, maka setiap penerima akan memperoleh RM650 pada Ogos atau September depan.

Mudah-mudahan mereka yang menerima skim ini dapat menampung pendapatan mereka. Saya tahu RM600 atau RM700 setahun bukanlah mencukupi tetapi ini adalah tambahan kepada pendapatan lain mereka, katanya.

Najib juga berkata, baki KIR dalam senarai e-Kasih yang layak, tidak dapat didaftarkan untuk menerima skim berkenaan mungkin kerana sudah berpindah dari alamat asal atau mereka sendiri tidak berminat menerima bantuan seperti ASW 2020 Bandar.

Najib berkata, 50,931 KIR sudah dimasukkan dalam pendaftaran e-Kasih Fasa I dan Fasa II bagi kategori miskin tegar tetapi berkurangan kepada 33,417, manakala bagi kumpulan miskin, berkurangan daripada 68,468 kepada 66,848.

Jumlah itu dapat dikurangkan kerana kerajaan tidak mengambil sikap bahawa negara kita adalah negara kebajikan. Kerajaan hanya memberi bantuan kepada golongan miskin dan daripada program seperti itu, kira-kira 17,000 kini berdikari dan tidak lagi tergolong sebagai miskin tegar, katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Nor zaiton Zainal, 34, dari Flet Sri Kelantan, Sentul di sini, amat bersyukur kerana bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan sekeluarga kerana suaminya, Hadi Awang, 39, tiada pendapatan tetap kerana akibat sakit pinggang dan sendi.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url