Calon lulus kursus perguruan terus dilantik guru tetap: Muhyiddin

Calon yang telah lulus kursus perguruan akan terus dilantik sebagai guru tetap dan bukan lagi sebagai Guru Sandaran Terlatih, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam pengambilan yang akan datang, yang bukan sahaja akan menjimatkan kos dan masa, tetapi memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru terlatih itu.

"Kita tidak perlu ada guru sandaran terlatih lagi dan kalau ada jawatan yang kita perlukan, penempatan boleh dibuat secara langsung ke mana-mana sekolah yang sesuai.

"Apa yang penting, kita mahukan guru yang cukup baik dan terpilih, diberikan jawatan yang tetap selepas proses tapisan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi; dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Datuk Kusaini Hasbullah.

Terdahulu, i dalam ucapannya, Muhyiddin berkata dalam melaksanakan tindakan itu, perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan SPP dapat diperkemaskan.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan proses pelantikan ke jawatan tetap itu dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkesan.
"Buat masa ini, pemilihan calon untuk mengikuti kursus perguruan dikendalikan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran dan Unit Pusat Universiti, Kementerian Pengajian Tinggi.

"Mereka yang telah lulus latihan kemudiannya akan dilantik sebagai guru oleh SPP," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan lima syor yang dihasilkan oleh makmal khas yang ditubuhkan bagi membincang kaedah dan cara untuk meningkatkan kualiti guru.

"Lima syor itu adalah mengadakan kempen merekrut calon guru terbaik untuk mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam; memastikan guru menumpukan sepenuhnya kepada tugas mengajar dan bukannya tugas perkeranian.

"Selain itu, meningkatkan akauntabiliti IPG melalui pengenalan sistem penarafan berdasarkan tahap kecemerlangan masing-masing; merekrut guru berkualiti dalam bidang kritikal dan menambahbaik laluan kerjaya guru," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url