Top Ad 728x90

Dutch Lady Malaysia Catat Rekod Bagi Acara Minum Susu Terbesar


KUALA LUMPUR: Seramai 3,200 peserta mengambil bahagian dalam "Acara Minum Susu Terbesar" anjuran Dutch Lady Malaysia hari ini bagi membolehkannya tersenarai dalam buku Malaysia Book of Records.

Jumlah itu melebihi sasaran 2,500 peserta dengan beberapa persatuan seperti Pengakap Malaysia, Pandu Puteri Malaysia dan Bulan Sabit Merah Malaysia turut mengambil bahagian.

Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) Bas van den Berg berkata catatan rekod bersejarah itu penting bagi Dutch Lady dalam mengorak langkah mengubah tabiat meminum susu di kalangan orang ramai.

"Kami sangat berbangga dikaitkan dengan rekod yang dicipta dalam Malaysia Book Of Record hari ini," katanya kepada pemberita pada majlis itu sempena sambutan Hari Susu Sedunia 2010 di pusat beli-belah Pavillion di sini.

Hadir sama Pengerusi Dutch Lady Datuk Zainal Abidin Putih dan Pengarah Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Idris Kadir serta selebriti seperti Amber Chia, Shasha Bashir dan Dina.

Menurut van den Berg, acara itu merupakan sebahagian daripada kempen "Sebarkan Kebaikan Khasiat Susu" Dutch Lady bagi memupuk kesedaran dan mendidik pengguna tentang khasiat nutrisi hasil pengambilan susu setiap hari.

"Tidak kira bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun warga emas kesemuanya memerlukan khasiat nutrisi dari susu yang dapat menjana tumbesaran tubuh badan dan minda yang sihat," katanya.

Sementara itu, Dutch Lady turut mereka cipta 250,000 kotak susu UHT khas bagi dua perisa iaitu Susu Rendah Lemak dan Susu Coklat untuk diedarkan secara percuma di seluruh negara termasuk plaza tol terpilih di daerah Utara, Sentral, Timur dan Selatan Semenanjung serta Kuala Lumpur, Selangor dan Kuching.

Sambutan yang berlangsung dua hari itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Reshmonu, Alif Satar dan bintang Idola Kecil, Dayana.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90