Ombak Bada tembusi Malaysia
Sejajar dengan arus pemodenan yang dikecapi hari ini, pelbagai perubahan dapat disaksikan dalam segenap kehidupan manusia.
Pelbagai sektor merasai tempias perubahan itu khususnya apabila melihat pembaharuan teknologi yang pesat bagi memenuhi kehendak pengguna masa kini.
Bidang telekomunikasi tidak terkecuali apabila syarikat gergasi pembikin telefon bimbit yang sentiasa peka terhadap keperluan pengguna membangunkan pelbagai jenis telefon pintar dan platform sistem operasi (OS) berteknologi tinggi.
Telefon pintar kini boleh dianggap sebagai aksesori penting kepada masyarakat hari ini kerana gajet itu sudah menjadi keperluan bagi melancarkan rutin gaya hidup mereka.
Salah satu jenama yang sentiasa melakukan penyelidikan dan pembangunan agar pengguna dapat menikmati pengalaman baru dalam penggunaan teknologi berinovasi adalah Samsung.
Syarikat itu telah membangunkan platform OS terbuka sendiri yang diberi nama Bada. Ia berteraskan visi bahawa telefon pintar adalah untuk semua orang.
Bada yang membawa maksud lautan dalam perkataan Korea mempunyai matlamat utama tersendiri iaitu tidak menandingi kewujudan platform-platform telefon pintar lain.
Sebaliknya, OS Bada akan menukar pelanggan-pelanggan konvensional Samsung kepada pengguna telefon pintar dengan menyediakan telefon pintar kos efektif.
Ini bermakna OS Bada telah memperluaskan segmen pasaran telefon pintar baru yang tidak wujud dalam pasaran semasa.
Selain daripada itu, OS Bada merupakan platform telefon pintar yang kaya dengan pelbagai ciri dan perkhidmatan menarik ditawarkan kepada pengguna.
Aplikasi inovatif
Memandangkan ia merupakan platform terbuka, keistimewaan OS Bada ialah membolehkan pelbagai aplikasi inovatif dibangunkan oleh pencipta aplikasi.
Senario ini telah membuka ruang kepada pencipta-pencipta aplikasi untuk mengembangkan bakat mereka.
Pengarah Telefon Mudah Alih Samsung, Andrew Cheong, berkata, antara ciri-ciri menarik ditawarkan OS Bada ialah ia mempunyai tiga kategori elemen antara muka pengguna (UI) untuk membangun aplikasi interaktif.
"Elemen-elemen ini memberi keupayaan dalam pemetaan, integrasi jaringan web dan penggunaan Flash. Ia juga membolehkan penukaran saiz UI antara WVGA dan WQVGA dengan mudah.
"Dalam pada itu, ciri-ciri lain yang boleh diguna pakai oleh pencipta aplikasi melalui OS Bada termasuk sentuhan pelbagai, getaran, pergerakan, pengesan dan pengenalan wajah," katanya kepada Kosmo!.
Andrew menambah, OS Bada turut menyediakan khidmat pesanan antara muka atur cara aplikasi (API) yang membolehkan mesej dilakukan dengan mudah dan berkesan.
Katanya, ia membolehkan pembangunan permainan dilakukan kerana menyokong OpenGL/ES untuk grafik tiga dimensi (3D), sentuhan pelbagai, dan mempercepat kawalan.
Dari segi multimedia pula, platform ini menyokong pelbagai jenis audio, video dan format pengimejan bagi memenuhi standard paparan dan rakaman.
Penyambungan rangkaian juga dipermudahkan dengan OS Bada apabila mengetengahkan fungsi WiFi dan Bluetooth. Ia turut dilengkapi pelayar Dolphin yang menyokong HTML 4.01 and HTML5 memudahkan sambungan ke Internet.
Carian lokasi
Selain itu, Servis Berasaskan Lokasi (LBS) menyokong mencari lokasi dari satu titik ke titik lain. Ia amat sesuai bagi mereka yang ingin mencari lokasi seperti restoran, stesen petrol dan lain-lain lagi.
Tambah Andrew, Samsung telah mengadakan bengkel pemaju Bada yang mendapat kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) baru-baru ini.
Katanya, bengkel berkenaan diadakan untuk membantu mengembangkan industri kandungan di dalam negara ini.
Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung) telah melancarkan telefon pintar dengan OS Bada yang pertama di negara ini iaitu Samsung Wave.
Pengarah Urusannya, Yu Jai Sul, berkata Bada adalah sistem operasi yang dibangunkan sendiri oleh Samsung bagi penggunaan khas telefon pintar sesuai untuk gaya hidup masa kini.
"Dengan pelancaran Samsung Wave ini, Samsung kini lebih aktif membina ekosistem menerusi platform Bada termasuk aplikasi Samsung. Ia satu visi realiti untuk kumpulan pelanggan, pemaju dan pengendali.
"Samsung Wave adalah strategi kami untuk menyampaikan pengalaman menarik serta kemewahan telefon pintar kepada semua pihak," katanya.
Selain dilengkapi dengan platform OS Bada, Samsung Wave dijana pemproses aplikasi 1 gigahertz.
Ia turut didatangkan dengan skrin paparan pertama di dunia menggunakan Super AmoLed 3.3 inci yang dapat memberikan kepuasan kepada pengguna apabila menonton video atau sebagainya.
Skrin sesentuh yang agak sensitif juga memudahkan lagi pengguna dalam mengendalikan telefon pintar terbaru daripada Samsung ini.
Telefon pintar yang ditawarkan pada harga runcit RM1,699 ini turut didatangkan sistem bunyi 5.1 maya, video definisi tinggi (HD) dan pemain muzik berupaya beroperasi selama 30 jam tanpa henti.
Dengan kamera lima megapiksel pengimejan yang dirakam oleh penggemar telefon pintar pasti akan membawa seribu makna kepada mereka.
Model terbaru ini merupakan telefon pintar pertama di dunia yang dilengkapi teknologi Bluetooth 3.0 dan WiFi 802.11n.
Ciri-ciri ini dapat memudahkan rangkaian dilakukan untuk memindahkan fail, audio, imej dan pelbagai lagi khususnya apabila berada di luar rumah ataupun pejabat.
Beberapa model lain dengan OS Bada akan turut diperkenalkan sebelum penghujung tahun ini namun beliau enggan menyatakan jumlah model baru yang akan dibawa masuk.
- KOSMO!