Harga buah-buahan dijangka naik 50%
Pengarah Kanan Urus Niaga Segar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak berkata, kemerosotan buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis, duku dan cempedak itu disebabkan faktor cuaca panas melampau yang berlarutan untuk tempoh yang panjang.
Menurut beliau, hanya 80,000 tan metrik buah-buahan tempatan bermusim dijangka dapat dikeluarkan tahun ini berbanding 150,000 tan metrik pada tahun lalu.
"Kita jangkakan tahun ini harga buah-buahan bermusim akan meningkat sekitar 50 peratus disebabkan faktor pengeluaran yang berkurangan kesan daripada fenomena El Nino," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Program Ladang Kontrak antara FAMA dengan pengusaha ladang rambutan dan tembikai di Kompleks Pengumpulan Ladang Kampung Selamat di sini semalam.
Pada majlis itu, FAMA diwakili oleh Pengarah Wilayah Utara, Mohd. Ariffin Awang. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.
Menurut Ahmad, walaupun pada dasarnya kenaikan harga hasil pertanian itu di pasaran bakal memberi kebaikan kepada pengusaha ladang dan petani tetapi FAMA akan tetap memantau kenaikan harga tersebut agar tidak membebankan pengguna menerusi pelan pemasaran buah-buahan bermusim.
- KOSMO!