Piala Dunia dalam peti LV


Selepas 80 tahun dianjurkan iaitu sejak 1930, kejohanan Piala Dunia tahun ini menyaksikan pembabitan jenama tersohor, Louis Vuitton (LV) yang diberi kepercayaan oleh Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menghasilkan ‘peti’ atau bekas penyimpanan piala berprestij itu.

Pemilihan LV sebagai pereka peti penyimpanan itu dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada syarikat gergasi berkenaan kerana ia adalah kerjasama julung kali yang diadakan FIFA.

Peti penyimpanan berkenaan akan digunakan mulai Piala Dunia tahun ini untuk menyimpan dan melindungi piala kejohanan berkenaan yang diperbuat daripada emas 18 karat dengan ketinggian 36 sentimeter (sm) serta berat 6.17 kilogram (kg).

Ketua Komunikasi LV, Antoine Arnault berkata, LV amat berbangga kerana dipilih dan diberi kepercayaan oleh FIFA untuk mencipta peti penyimpanan Piala Dunia itu.

“Pemilihan ini sesuatu yang benar-benar membanggakan kami dan apa yang lebih membuatkan kami berbangga apabila FIFA memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kami untuk mencipta bekas ini mengikut kepakaran kami.

“Rekaan dan penghasilan peti penyimpanan piala itu dihasilkan pereka berpengalaman kami di kilang utama LV di Paris.

“Dilindungi kanvas dan logam dengan dikunci setiap penjurunya, peti ini mempunyai jaluran coklat gelap bagi melengkapkan lagi kehebatan piala berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

LV pada satu majlis mengumumkan ciptaan bekas penyimpanan itu awal bulan ini di Zurich turut mempamerkan hasil rekaan berkenaan.

Kepentingan menghasilkan peti penyimpanan itu dicetuskan Presiden FIFA, Joseph S. Blatter yang menganggap piala itu perlu disimpan dalam sebuah bekas bagi melindunginya ketika dibawa dari satu negara ke negara lain setiap kali penganjuran Piala Dunia.

Menurut Arnault, peti penyimpanan itu perlu dibuka di bahagian hadapan dan atas untuk memudahkan piala berkenaan dikeluarkan serta dipamerkan untuk tontonan jutaan orang ketika pertandingan akhir Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Johannesburg pada 11 Julai depan.

Selain itu, Pengarah Bahagian Pemasaran FIFA, Thierry Weil memberitahu, bekas penyimpanan itu perlu dihasilkan bagi menggambarkan betapa pentingnya Piala Dunia.

Ujarnya, dengan penghasilan beg penyimpanan itu, ia bukan sahaja menunjukkan ciri eksklusif dan personaliti Piala Dunia FIFA tetapi juga menjamin keselamatan serta melindungi piala berkenaan ketika dibawa mengelilingi dunia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url