Cabaran wanita berkerjaya mantapkan pembangunan keluarga

Oleh Dr Haslee Sharil Abdullah

Sejak kebelakangan ini, kecemerlangan pelajar wanita dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia amat membanggakan dari segi kuantiti dan kualiti. Malah bilangan mereka yang diterima ke universiti awam pada sesi 2010/11 jauh melebihi pelajar lelaki dengan nisbah 2:1.

Ini bukti kejayaan usaha pemerkasaan wanita di Malaysia yang boleh dibanggakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Namun, kemajuan wanita dalam akademik dan kerjaya membawa implikasi besar dalam soal pencarian jodoh dan kehidupan berumah tangga.

Lantas timbul pelbagai persoalan yang perlu dirungkai masyarakat. Apakah kriteria wanita terpelajar dalam pencarian pasangan hidup? Sudikah mereka menerima calon suami yang tahap pendidikan dan pekerjaan lebih rendah?

Di kalangan lelaki pula, sejauh manakah mereka sanggup menerima calon isteri berkelulusan dan berjawatan lebih tinggi? Penulis menjalankan kajian untuk menjawab persoalan ini dan mungkin dapat menjelaskan mengapa semakin ramai wanita berkelulusan tinggi lambat atau tidak menemui jodohnya.

Memang ini tidak menjadi masalah jika wanita yang hidup solo secara pilihan dapat menemui kebahagiaan dengan cara sendiri berlandaskan nilai sosial dan agama. Namun, keperluan psikologi dan naluri hidup berpasangan ada masanya menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga melakukan perkara yang melampaui batasan nilai sosial dan agama demi memenuhi keperluan itu.

Secara tradisi, lelaki menjadi tonggak urusan ekonomi keluarga. Namun, apakah kesan psikologi kepada lelaki jika isteri yang mengambil alih kedudukan dan peranan itu? Sejauh manakah kemampuan suami mengemudi rumah tangga yang mungkin menerima tekanan daripada mentua dan ipar duai? Sudikah ibu bapa, khususnya ibu untuk menerima menantu lelaki yang kurang tahap pendidikan dan pekerjaan berbanding anak perempuan mereka?

Banyak pasangan suami isteri yang berkerjaya berdepan pelbagai cabaran berumah tangga, lebih-lebih lagi apabila isteri menyandang jawatan lebih tinggi dan lebih sibuk menguruskan kerjayanya.
Andai suami memahami dan boleh menerima keadaan sebegini dan memberi sokongan, Alhamdulillah. Itupun banyak bergantung kepada kebijaksanaan isteri melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab tatkala melangkah masuk ke rumah dari pejabat.

Jika isteri membawa balik pangkat dan jawatannya sehingga suami rasa tergugat, perhubungan suami isteri mula bermasalah.

Dengan kuasa ekonomi yang ada, isteri boleh menggaji pembantu rumah untuk mengambil alih sebahagian besar urusan rumah tangga tanpa menyedari sentuhan kasih sayang didahagakan keluarganya. Defisit piskologi boleh membuatkan keluarga berasakan terabai. Jika ini tidak disedari dan ditadbir urus dengan baik akan membawa kepada kedinginan perhubungan.

Lama-kelamaan, masing-masing menjauhkan diri. Kefungsian keluarga kian merosot dan akhirnya mengundang pelbagai masalah hubungan suami isteri, ibu bapa dan anak. Apabila ini berlaku, perkembangan anak terjejas, malah jati diri mereka turut lemah. Anak menjadi rapuh dan mudah rebah berdepan pancaroba hidup.

Mungkin sudah tiba masa untuk mengubah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat agar fokus kementerian tertumpu kepada pembangunan keluarga yang menjadi unit sosial paling asas. Dengan ini, kementerian tidak dipersepsikan sebagai pejuang dan milik wanita. Lelaki pun tidak rasa segan silu untuk menyertai program atau meminta bantuan daripada kementerian itu ketika memerlukannya. Dengan kata lain, kementerian akan bersifat lebih inklusif.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url