KTM komuter Sentul-Batu Caves dilancar


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan menganggarkan seramai 10,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Sentul-Batu Caves setiap hari apabila ia mula beroperasi semalam.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Har berkata, bagi laluan berkenaan, sebanyak 98 perkhidmatan ulang alik disediakan pada hari bekerja, manakala 105 perkhidmatan pada hari minggu dengan kekerapan setiap 15 minit.

"Dengan pembukaan laluan ini, pastinya masalah kesesakan jalan raya setiap hari terutamanya di pusat bandar dapat diatasi.

"Selain pelbagai kemudahan yang disediakan, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut menyediakan kawasan tempat meletak kereta yang luas," katanya pada majlis pembukaan laluan Sentul-Batu Caves semalam.

Menurut Cho Har, dengan laluan baru ini juga akan memudahkan pelancong untuk berkunjung ke Batu Caves memandangkan di situ terletaknya tempat ibadat penganut agama Hindu yang terkenal.

Katanya, secara puratanya seramai 80,000 penganut akan datang ke Batu Caves pada setiap perayaan Hari Thaipusam dan pastinya perkhidmatan KTM Komuter menjadi pilihan mereka selepas ini.

Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa dengan laluan sepanjang 7.5 kilometer yang dibina ini telah melengkapkan perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang yang selepas ini dikenali Batu Caves-Pelabuhan Klang.

Menurutnya, buat permulaan KTMB memberi perkhidmatan secara percuma kepada para penumpang bagi laluan berkenaan dalam tempoh seminggu iaitu bermula 29 Julai sehingga 4 Ogos ini.

- KOSMO!

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.